TITE (kanan) yakin anak buahnya mampu serap tekanan dalam saingan kalah mati. FOTO/AFP
TITE (kanan) yakin anak buahnya mampu serap tekanan dalam saingan kalah mati. FOTO/AFP
AFP

MOSCOW: Jurulatih Brazil, Tite berkata, pasukannya boleh menerima tekanan selepas diletakkan selaku pilihan Piala Dunia sejurus menewaskan Serbia 2-0 awal pagi tadi untuk menempah tiket ke kelompok 16 terakhir berdepan Mexico.

Selepas juara bertahan, Jerman mengalami kejutan tersingkir awal pada saingan peringkat kumpulan, Brazil kini menjadi pilihan untuk meraih gelaran keenam Piala Dunia dan Tite berkata, bintang Amerika Selatan miliknya boleh bertahan dengan tekanan tambahan itu.

“Kami tidak hidup melebihi jangkaan, kami hidup dengan realiti,” katanya.

“Kami boleh menerima tekanan, kami pasukan yang seimbang dan bagi kami, ini berkaitan soal menjadi semakin kuat dan berkembang.”

Kemenangan Brazil awal pagi tadi hadir selepas persembahan hebat penyerang, Neymar.

Brazil mendahului apabila Paulinho menjaringkan gol menarik pada minit ke-36 sebelum Neymar membuat hantaran silang buat Thiago Silva yang menanduk masuk gol kedua Selecao ketika permainan berbaki 22 minit di Moscow.

Selepas membuka jaringan di Russia 2018 menerusi gol kedua Brazil ketika menang 2-0 ke atas Costa Rica, Jumaat lalu, Neymar sekali lagi mengagumkan.

Sebagai pemain paling emosi di Saint Petersburg, Neymar tampil dengan gaya lebih ceria, memberikan ciuman kepada penonton ketika juara lima kali itu meraikannya.

Selaku juara Kumpulan E, Brazil akan berdepan Mexico di Samara, Isnin ini dengan naib juara kumpulan, Switzerland menanti Sweden di St Petersburg pada Selasa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Jun 2018 @ 8:33 AM