HODAK (empat kiri) sasar lepasi suku akhir Piala AFC.
HODAK (empat kiri) sasar lepasi suku akhir Piala AFC.

Kuala Lumpur: Jurulatih Johor Darul Ta’zim (Johor DT) Bojan Hodak mengakui berdepan tugas sukar menjelang saingan play-off Liga Juara-Juara Asia 2015, namun menganggap jika mara hingga ke peringkat kumpulan, pencapaian itu boleh dianggap paling besar buat kelab bola sepak Malaysia.

Menurutnya, mereka akan cuba mara sejauh mungkin walaupun berdepan tiga perlawanan getir, bertemu kelab dari India Bengaluru FC pada 4 Februari dan jika menang bakal menentang wakil Thailand, Bangkok Glass (10 Februari) sebelum halangan terakhir ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Asia bertemu kelab China, Beijing Gouan (17 Februari).

“Tiket peringkat kumpulan boleh dianggap pencapaian besar, tapi untuk layak, halangan kami cukup sukar dan jika gagal kami hanya berdepan kelab dari Hong Kong, Kitchee atau Sun Pegasus, East Bengal (India) dan Balestier Khalsa FC (Singapura) dalam saingan Kumpulan F Piala AFC 2015,” katanya selepas Majlis Undian Piala AFC 2015 semalam.

Jelasnya, mereka akan cuba mara sekurang-kurangnya lebih dari peringkat suku akhir, pencapaian terbaik setakat ini pernah dicatat kelab dari Malaysia.

“Bagaimanapun, kami akan fokus play-off Liga Juara-Juara Asia terlebih dulu, menentang Bengaluru FC di laman sendiri. Jika menang saingan sukar bakal menanti apabila bertemu Bangkok Glass dan paling mencabar sudah tentu Beijing Gouan dengan pertemuan menentang mereka, juga di tempat lawan.

“Tapi dalam bola sepak, anda tidak tahu apa akan berlaku walaupun kami akan bertemu wakil China itu dalam cuaca sejuk, berita yang bukan baik buat pasukan dari Asia Tenggara,” katanya.

Jika Johor DT berjaya ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Asia, pasukan yang akan menggantikan mereka di Piala AFC 2015 ialah Selangor selaku pasukan kedua terbaik Liga Super 2014.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Disember 2014 @ 6:57 AM