UNDIAN rasmi bagi Piala AFC 2017. FOTO AFP
UNDIAN rasmi bagi Piala AFC 2017. FOTO AFP
Aziman Rosdi


Kuala Lumpur: Juara Piala AFC 2015 Johor Darul Ta'zim (Johor DT) dijangka tidak berdepan masalah untuk melepasi halangan awal selepas diundi dalam Kumpulan F bagi saingan musim depan.

Dalam undian yang berlangsung hari ini, skuad kendalian Mario Gomez itu bakal berdepan kelab dari Myanmar Magwe FC, Global FC (Filipina) dan pemenang play-off antara Boeungket Angkor (Kemboja) dengan Lao Toyota (Laos).

Bagaimanapun andai Johor DT berjaya melepasi saingan play off Liga Juara-Juara Asia 2017 (ACL) dan mara ke peringkat kumpulan ACL maka tempat kelab Harimau Selatan itu bakal diisi pasukan ketiga Liga Super yang juga pemenang Piala Malaysia, Kedah.

Sementara itu dengan format kejohanan yang berubah selepas Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) memperkenalkan zon Asean, satu lagi wakil negara dalam kempen Piala AFC, FELDA United bakal berentap dalam Kumpulan G yang turut hanya membabitkan pasukan dari rantau ini.

FELDA United, naib juara Liga Super yang kini dibimbing jurulatih baru, Azmi Mohamed akan menentang Hanoi T&T SHB Da Nang dari Vietnam, Tampines Rovers atau Geylang International FC (Singapura) dan Ceres Negros (Filipina).

Tahun lalu Piala AFC dimenangi Air Force Club dari Iraq manakala Johor DT gagal mempertahankan kejuaraan apabila terkandas di separuh akhir.

Saingan kali ini akan bermula dengan aksi play off pada Januari tahun depan bagi melengkapkan senarai akhir pasukan dalam kempen peringkat kumpulan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Disember 2016 @ 6:54 PM