JOHOR DT cipta sejarah apabila layak ke perlawanan akhir Piala AFC.
JOHOR DT cipta sejarah apabila layak ke perlawanan akhir Piala AFC.
Oleh Aziman Rosdi

Kuala Lumpur: Tiada slot automatik ke Liga Juara Juara Asia (ACL) tahun depan diberikan kepada Johor Darul Ta’zim (Johor DT) seandainya skuad Harimau Selatan itu muncul juara Piala AFC hari ini.

Johor DT tidak akan mendapat kelebihan bersaing dalam kancah ACL - dianggap kejohanan antara kelab paling berprestij di Asia - sekalipun jika menewaskan kelab dari Tajikistan FC Istiklol di Dushanbe nanti kerana amalan juara layak secara automatik dihentikan sejak 2013.

Menurut Timbalan Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Datuk Windsor Paul John, selepas 2012 tiada lagi tiket automatik diberikan kepada juara Piala AFC kerana badan induk Asia itu sudah melonggarkan syarat untuk beraksi di ACL.

“Tidak ada tiket automatik untuk juara Piala AFC. Dulu pada 2012 ada dengan juara Piala AFC yang memenuhi kriteria layak terus Liga Juara-Juara Asia.

“Tapi selepas itu apabila kami menurunkan kriteria untuk pasukan bermain dalam Liga Juara-Juara Asia, slot juara itu ditarik semula. Bagaimanapun bagi Johor DT yang menjuarai Liga Super 2015, mereka layak untuk beraksi dalam play-off Liga Juara-Juara Asia musim depan,” katanya kepada Arena Metro.

Setakat ini masih tiada pasukan atau kelab tempatan layak beraksi di ACL dan percubaan Johor DT untuk mendapat tempat ke kejohanan itu tidak kesampaian apabila terkandas di pusingan play-off tahun ini.

Windsor berkata, untuk mana-mana pasukan layak secara automatik ke ACL, mereka perlu menduduki kelompok 24 pasukan terbaik dalam ranking dikeluarkan AFC.

Justeru, kemaraan Johor DT ke final bakal membantu memberikan mata untuk mereka memperbaiki ranking bagi musim 2017 dan 2018.

“Tujuh puluh peratus mata ranking bakal disumbang menerusi perlawanan kelab dan 30 peratus daripada pasukan kebangsaan. Jadi pencapaian Johor DT ini dapat membantu untuk menaikkan ranking, namun pengagihan slot dibuat dua tahun sekali, jadi mata tahun ini akan dikira untuk musim 2017 dan 2018,” jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Oktober 2015 @ 7:34 AM