PASUKAN GKP hantar 30 pelumba remaja dan berpengalaman.
PASUKAN GKP hantar 30 pelumba remaja dan berpengalaman.

Johor Bahru: Biarpun pekak dan bisu, namun kekurangan itu tidak menghalang orang kurang upaya (OKU) ini untuk menyertai cabaran Kejohanan Harian Metro Mountain Bike (HMMTB) Grand Prix, malah dia turut menjadi ayam tambatan pasukannya.

Ramly Ismail, 37, dari Geng Kaki Pepah (GKP) yakin dengan kehadirannya untuk bersaing buat pasukannya pada kejohanan itu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), 3 Disember ini.

Penaung GKP Mohd Suliman Borhan berkata, kehebatan Ramly memang tidak dapat dinafikan dan tidak mustahil kakitangan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) itu bakal menjadi wakil menaiki podium.

“Ramly memang harapan kumpulan ini untuk meraih tempat pertama, kerana kami tahu kemampuannya untuk menjadi juara. Kami tahu dia menjalani latihan secara konsisten dan mempunyai persediaan yang cukup bagi menghadapi saingan ini.

“Selain Ramly, kami mempunyai beberapa ahli lain yang handal dan akan memberi saingan hebat di acara ini termasuk saya dan sahabat, Sabaruddin Tahir, 52, yang juga wakil tunggal dari Singapura dalam GKP.

“Kami antara peserta di tangga 10 teratas bagi setiap kategori,” katanya semalam.

Pasukan yang terdiri daripada 30 ahli berusia 15 hingga 50 tahun itu adalah peminat sukan basikal tegar yang sememangnya menanti ketibaan kejohanan HMMTB.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 November 2016 @ 7:25 AM