Omar Osman


Sungai Petani: Kemahiran meredah laluan sukar dan berbukit akan digunakan sepenuhnya pelumba D’nia Bike (gambar) yang akan memeriahkan saingan sukan basikal lasak Harian Metro Mountain Bike (HMMTB) Grand Prix 2016 Sirkit 1 di Kulim Hi-Tech Park, Kulim pada 30 Julai ini.

Ditubuhkan pada 2009 di Pinang Tunggal, di sini, D’nia Bike disertai ramai penggemar sukan basikal lasak sekitar Sungai Petani membabitkan golongan muda dan tua dengan sering terbabit dalam pelbagai pertandingan di utara tanah air.

Ketuanya, Dahlan Mohd Noh, 40, berkata memiliki lebih 50 ahli berusia 17 hingga 46 tahun, mereka mempunyai pengalaman luas dan sebahagian daripadanya pernah menyertai beberapa MTB termasuk anjuran Harian Metro sebelum ini.

Katanya, saingan kali ini, D’nia Bike bakal menampil 15 pelumba dan akan menyertai semua kategori kecuali wanita dengan pelumba dijangka memberi saingan sengit.

“Kami juga mempunyai beberapa pelumba muda berbakat untuk diketengahkan kali ini. Malah trek Kulim Hi Tech menjadi tapak pertandingan juga tidak asing bagi kami,” katanya.

Mokhtar berkata, beliau berharap pelumba D’nia Bike dapat memperbaiki pencapaian dengan menyasarkan kelompok 10 pelumba terbaik kerana tidak mustahil dicapai.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Julai 2016 @ 5:11 AM