PASUKAN ABCC miliki semangat juang tinggi dalam saingan HMMTB.
PASUKAN ABCC miliki semangat juang tinggi dalam saingan HMMTB.
Raja Noraina Raja Rahim dan Mohd Amin Jalil dan Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Meskipun Kelab Berbasikal Affin Bank (ABCC) tidak mempunyai pengalaman luas dalam acara basikal lasak, namun semangat juang tinggi setiap ahli pasukan menamatkan kayuhan wajar dipuji.

Penyertaan kali pertama pada Kejohanan Harian Metro Mountain Bike (HMMTB) 2016 Sirkit 2 di Lukut, di sini, Sabtu lalu, adalah pengalaman berharga untuk kelab itu.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Affin Islamic Bank Berhad Ferdaus Toh Abdullah berkata, ahli kelab membabitkan kakitangan bank itu di seluruh negara yang meminati sukan berkenaan.

“Kami menubuhkan kelab itu selepas melihat ada kakitangan mengambil bahagian dalam HMMTB di Kulim, Kedah. Oleh itu, kami mengambil peluang untuk kumpulkan kakitangan yang berminat, menjadi satu pasukan.

“Kami menghantar 30 peserta kali ini dan ternyata mereka mampu memberikan saingan. Biarpun berdepan cabaran sukar semua ahli berupaya menamatkan perlumbaan,” katanya.

Justeru, Ferdaus berkata, beliau berpuas hati dengan pencapaian ABCC kerana tidak banyak kekurangan mereka jika dibandingkan dengan peserta lain.

“Saya juga tidak menyangka mampu menamatkan cabaran sengit. Saya berusaha mengekalkan kelajuan kayuhan sepanjang trek yang mencabar itu biarpun berada di kedudukan kurang baik,” katanya.

Sementara itu, pelumba berpengalaman Jamari Abdul Rahman berkata, dia dan ahli kumpulan sudah bersedia mental dan fizikal untuk berdepan Sirkit 2 kerana mengetahui kejohanan HMMTB mencabar.

Kakitangan Affin Bank cawangan Senawang, Negeri Sembilan itu berkata, sebelum ini dia bergerak secara bersendirian dan pernah menyertai HMMTB Sirkit 1 di Kulim serta beberapa perlumbaan tempatan di merata tempat.

“Saya teruja kali ini dapat mengambil bahagian dengan menyarung jersi Affin Bank. Saya mengakui HMMTB adalah perlumbaan berprestij kerana disertai ramai pelumba handalan.

“Namun, demi pasukan, saya tekad memperagakan aksi bertenaga untuk bersaing dan menamatkan cabaran walaupun tidak berada dalam senarai 10 terbaik. Selepas ini, kami akan memberi persembahan lebih baik di Johor pula,” katanya.

Bagi Rozhan Ishak yang berpengalaman dalam sukan lumba basikal sejak enam tahun lalu berkata, penyertaannya mewakili ABCC kali ini memberi semangat baru buatnya kerana membawa nama syarikatnya bekerja.

“Apabila berada dalam pasukan bersama rakan sekerja dan menyarung jersi syarikat, itu yang membuatkan saya bersemangat dan bertekad untuk memberi saingan kepada pelumba lain.

“Walaupun tidak dapat berlatih bersama kerana bertugas di cawangan berbeza, namun kami sentiasa berhubung untuk berkongsi strategi dan membuat latihan setiap minggu bagi mempamerkan yang terbaik pada kejohanan itu,” katanya yang meletak sasaran untuk berada di kedudukan 10 terbaik selepas ini.

Pada kejohanan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Affin Islamic Bank Nazlee Khalifah turut hadir dan menyampaikan hadiah kepada pemenang bersama Ketua Pegawai Eksekutif The News Straits Times Press (NSTP) Datuk Mohammad Azlan Abdullah dan Pengarang Kumpulan Harian Metro Datuk Mustapa Omar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Oktober 2016 @ 11:13 AM