KAPAL perang dan helikopter China dilihat menjalani latihan mencari dan menyelamat berhampiran Kepulauan Paracel di Laut China Selatan, semalam.  - Reuters
KAPAL perang dan helikopter China dilihat menjalani latihan mencari dan menyelamat berhampiran Kepulauan Paracel di Laut China Selatan, semalam. - Reuters
Agensi

Beijing: China semalam mengancam ‘tindak balas muktamad’ terhadap sebarang provokasi di Laut China Selatan, berikutan keputusan sebuah tribunal antarabangsa ke atas tuntutannya di kawasan perairan berkenaan.

Negara gergasi Asia itu berang dengan keputusan yang dikeluarkan tribunal Mahkamah Tetap Timbang Tara di The Hague yang memihak kepada Filipina Selasa lalu yang memutuskan China tidak mempunyai asas untuk menuntut hak terhadap kawasan itu.

“Jika ada pihak yang melakukan provokasi terhadap kepentingan keselamatan China berdasarkan keputusan itu, kami akan melancarkan ‘tindak balas muktamad,’” kata jurucakap Kementerian Luar, Lu Kang.

Dia sekali lagi mengulangi kenyataan bahawa tribunal itu ‘tidak mengikut undang-undang’ dan keputusan yang dibuat ‘tidak akan menjejaskan dasar China yang ada sekarang.’

Beijing sebelum ini berkata, ia tidak akan mempedulikan keputusan berkenaan dan pada masa sama memberi amaran bahawa semakin banyak tekanan terhadap isu itu akan mengubah kawasan perairan yang kaya dengan sumber asli itu menjadi medan peperangan.

Sementara itu, Persatuan Negara Asia Tenggara (ASEAN) tidak akan mengeluarkan kenyataan mengenai keputusan tribunal di The Hague itu, kata pegawai yang menyalahkan keputusan berkenaan kerana tekanan daripada Beijing.

Ia sebelum ini menimbang untuk mengeluarkan kenyataan mengenainya.

Bagaimanapun, pertubuhan 10 negara Asia Tenggara itu yang perpaduannya semakin terjejas kerana dibayangi tuntutan China terhadap hampir seluruh Laut China Selatan, gagal mencapai persefahaman mengenai isu sensitif berkenaan.

“Pegawai ASEAN sudah menyediakan draf kenyataan tetapi tidak dapat persetujuan menyeluruh untuk mengeluarkannya,” kata seorang diplomat di Kuala Lumpur.

China dipercayai menekan sekutunya dalam ASEAN - Laos dan Kemboja - supaya menolak kenyataan itu.

Negara anggota ASEAN - Filipina, Vietnam, Malaysia dan Brunei terbabit dalam tuntutan bertindih terhadap sebahagian daripada kawasan di Laut China Selatan. dengan China.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Julai 2016 @ 9:09 AM