KAPAL Pengawal Pantai Filipina dan kapal Pengawal Pantai China. FOTO Pengawal Pantai Filipina / AFP
KAPAL Pengawal Pantai Filipina dan kapal Pengawal Pantai China. FOTO Pengawal Pantai Filipina / AFP
Agensi

Manila: Filipina, baru-baru ini, menyatakan kebimbangan mengenai laporan bahawa China sudah mula melakukan kerja menambak tanah di kawasan yang menjadi pertikaian banyak negara di Laut China Selatan, lapor Bangkok Post.

Bloomberg minggu lalu dalam laporan yang menyertakan imej daripada pegawai Amerika Syarikat, bahawa formasi tanah baharu dikesan di Kepulauan Spratly.

Lokasi itu di mana kapal dengan pengorek hidraulik milik China, didakwa beroperasi sejak beberapa tahun lalu.

"Kami begitu bimbang mengenai aktiviti yang bertentangan dengan perjanjian Deklarasi Kelakuan di Laut China Selatan dan keputusan Tribunal Timbang Tara pada 2016," kata Kementerian Luar Filipina dalam satu kenyataan.

Menurut kenyataan itu, agensi lain di negara itu sudah diminta menyiasat dakwaan berkenaan.

Menurut Bangkok Post, Beijing menuntut hampir semua kawasan perairan berkenaan, yang menjadi lokasi laluan perdagangan bernilai bertrilion dolar Amerika Syarikat, setiap tahun.

Negara lain yang mengemukakan tuntutan adalah Filipina, Vietnam, Malaysia, Brunei dan Taiwan.

China dilihat tidak mengendahkan keputusan Mahkamah Tetap Timbang Tara yang berpangkalan di The Hague, Belanda yang sebelum ini memutuskan tuntutan China sebagai tidak berasas.

Kenyataan kementerian Filipina itu dikeluarkan beberapa minggu selepas Manila menyatakan bantahan diplomatik terhadap Beijing selepas kapal pengawal pantai China 'secara paksa' didakwa mengambil serpihan roketnya yang terhempas ke Laut China Selatan.

Serpihan itu ditemukan oleh kapal tentera laut Filipina.

Bagaimanapun, Kedutaan China di Manila menafikan dakwaan berkenaan dan menyatakan serpihan itu diserahkan dalam "rundingan yang berlangsung secara mesra".

Minggu lalu, Kementerian Pertahanan Filipina juga "amat bimbang" dengan laporan bahawa kapal China berada di Terumbu Karang Iroquois (Iroquois Reef) dan Sabina Shoal - kedua-duanya dituntut oleh Filipina.

Dalam pada itu, jurucakap Jabatan Negara AS, baru-baru ini, menyatakan sokongan terhadap Filipina dalam kedua-dua insiden itu dan meminta China menghormati undang-undang antarabangsa.

Walaupun negara lain menuntut kawasan di perairan yang menjadi pertikaian itu, China dilihat paling agresif dengan membina fasiliti tentera lengkap dengan landasan kapal terbang, pelabuhan dan sistem radar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Disember 2022 @ 9:00 AM