AKTIVIS melaungkan slogan anti-China dan membawa poster tertulis #CHexit  di pejabat konsulat China di Manila.
AKTIVIS melaungkan slogan anti-China dan membawa poster tertulis #CHexit di pejabat konsulat China di Manila.

Pengguna Internet dan aktivis Filipina menggunakan #CHexit semalam bagi menggambarkan tiba masanya China ‘keluar’ dari Laut China Selatan pada ambang keputusan tribunal antarabangsa, hari ini.

Diinspirasikan terma ‘Brexit’ bagi menggambarkan undian Britain keluar dari Kesatuan Eropah (EU), hashtag terbaru itu cepat tersebar di Facebook, Twitter dan papan tanda dalam protes diadakan menjelang keputusan tribunal itu.

Aktivis, Mong Palatino yang membuat bantahan di luar konsulat China di Manila berkata: “Kami menggesa rakan-rakan dari negara lain terutama saudara kami di Asia Tenggara turut mendesak #CHexit.

“China mesti berhenti membuli jirannya.”

Pengguna media sosial lebih lantang menyuarakan pandangan mereka.

Antara mesej tersebar termasuk “China, keluar dari wilayah Filipina! #CHEXIT” dan “Laut Filipina Barat bukan milik kamu. #CHexit.”

Bagaimanapun, tidak semua orang menganggapnya sesuatu yang bagus.

Pengguna, @titobabis berkata: “#CHexit? Tolonglah.”

Manila memfailkan kes dengan tribunal antarabangsa di The Hague pada 2013 mencabar tuntutan Beijing, namun China enggan mengambil bahagian dan berazam tidak mengendahkan keputusannya hari ini. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Julai 2016 @ 10:30 AM