AKTIVIS Filipina dan rakyat Vietnam menyambut baik keputusan tribunal antarabangsa mengenai Laut China Selatan di Manila, semalam. - AFP
AKTIVIS Filipina dan rakyat Vietnam menyambut baik keputusan tribunal antarabangsa mengenai Laut China Selatan di Manila, semalam. - AFP
Reuters

The Hague: Sebuah tribunal antarabangsa di sini memutuskan China tidak mempunyai asas perundangan untuk menuntut ‘hak sejarah’ ke atas pulau di Laut China Selatan.

Tribunal berkenaan juga merumuskan China didapati mencabuli hak kedaulatan Filipina di perairan itu.

“Tribunal merumuskan, tidak wujud asas undang-undang bagi China untuk menuntut hak sejarah di Laut China Selatan,” menurut kenyataan yang dikeluarkan Mahkamah Tetap Timbang Tara yang berpejabat di The Hague, Belanda.

Manila yang mengemukakan kes itu terhadap Beijing pada 2013, mengalu-alukan keputusan berkenaan.

Bagaimanapun China menyambutnya dengan marah dan mengulangi, ia tidak akan menerima atau mengiktiraf keputusan itu.

Beijing mendakwa hampir keseluruhan Laut China Selatan, termasuk kawasan perairan berhampiran negara jiran sebagai wilayahnya, berdasarkan peta yang diterbitkan pada 1940-an.

“China mencabuli hak kedaulatan Filipina dalam zon ekonomi eksklusif dengan mengganggu kegiatan penangkapan dan kerja cari gali minyak yang dilakukan FIlipina dengan membina pulau dan gagal menghalang nelayannya menangkap ikan di zon itu,” menurut kenyataan yang dikeluarkan tribunal berkenaan.

Tribunal itu juga memutuskan, kepulauan Spratly ‘tidak boleh menghasilkan zon maritim sebagai satu unit’ seperti yang dituntut China.

Selain kedua-dua negara itu, negara lain yang turut terbabit menuntut hak terhadap sebahagian wilayah perairan yang dipercayai kaya dengan minyak dan simpanan gas itu ialah Vietnam, Malaysia, Brunei dan Taiwan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Julai 2016 @ 10:31 AM