NORMAH sedang membuat ragi.
NORMAH sedang membuat ragi.
RAGI yang dijemur selepas diperam selama tiga hari.
RAGI yang dijemur selepas diperam selama tiga hari.
RAGI perlu dijemur.
RAGI perlu dijemur.
NORMAH menyusun ragi untuk diperam.
NORMAH menyusun ragi untuk diperam.
NORMAH dan Abdul Aziz meletakkan bekas ragi untuk diperam di dalam gok.
NORMAH dan Abdul Aziz meletakkan bekas ragi untuk diperam di dalam gok.
RAGI yang sudah siap dibungkus
RAGI yang sudah siap dibungkus
Ahmad Rabiul Zulkifli


Setiap kali Aidilfitri, tapai antara juadah popular yang dijamu kepada tetamu yang bertandang ke rumah.

Ia menyebabkan bahan utama digunakan untuk membuat tapai, iaitu ragi mendapat permintaan tinggi dari masyarakat setiap kali menjelang Ramadan dan Syawal.

Sepasang suami isteri dari Kampung Bukit Wan, Tepoh dekat Kuala Terengganu antara pengusaha utama ragi di negeri ini yang tidak menang tangan menerima dan menyiapkan tempahan daripada peniaga di Pasar Besar Kedai Payang Kuala Terengganu dan Pasar Siti Khadijah Kota Bahru selain dari Johor serta Selangor untuk dijual kepada orang ramai.

Bagi memastikan bekalan ragi mencukupi, Normah Ngah, 52, dan suami, Abdul Aziz Abdul Ghani, 60, yang dibantu sepupu mereka, Jamilah Embong, 62, terpaksa menyiapkan 25,000 ragi untuk dijual sepanjang Ramadan.

Normah berkata, dia menerima terlalu banyak tempahan, tetapi separuh daripadanya terpaksa ditolak kerana bimbang ragi tidak dapat disiapkan pada masa dijanjikan.

“Cukuplah sekadar 25,000 biji Ramadan tahun ini. Jumlah itu kami agihkan ke seluruh pasar di negeri ini selain di Kelantan, Johor dan Selangor.

“Kami terpaksa bekerja seawal jam 7.30 pagi hingga 10.30 pagi bagi memastikan ragi yang ditempah dapat disiapkan pada waktu ditetapkan. Justeru, sebanyak 1,600 biji ragi perlu disiapkan setiap hari,” katanya.

Normah berkata, bekalan 20,000 ragi yang disediakan tahun lalu tidak mencukupi menyebabkan dia menambah 5,000 biji lagi tahun ini.

“Cara pembuatannya agak rumit kerana ia membabitkan beberapa langkah termasuk menguli, memeram, menjemur dan mengayak sebelum ia boleh dijual kepada peniaga atau pengguna.

“Sebanyak 10 ramuan termasuk tepung beras, yis dan rempah ratus dicampur sebelum diuli sebelum diperam ke dalam ‘gok’ selama tiga malam tanpa cahaya dan udara. Seterusnya, ia dijemur selama dua hingga tiga hari bergantung kepada keadaan cuaca.

“Selepas ragi itu kering 100 peratus, ia diayak pula menggunakan bakul untuk membersihkan kulat pada permukaan luar sebelum ia dipek untuk dijual,” katanya.

Katanya, dia menjual ragi mengikut saiz iaitu bersaiz besar dijual 70 sen dan 50 sen untuk saiz kecil.

“Istimewanya ragi buatan kami kerana sebiji sudah memadai untuk menyediakan enam kilogram (kg) tapai.

“Seronok menjalankan perusahaan ragi kerana ia mendapat sambutan mengalakkan. Biarpun cara penyediaannya agak rumit, hati puas apabila mendapat sambutan.

“Paling penting perusahaan yang dijalankan ayah (Ngah Abdul Rahman, 82,) secara turun-temurun sejak zaman bapa mentuanya dapat diteruskan generasi sekarang,” katanya.

Sementara itu, Abdul Aziz berkata, perusahaan itu tidak banyak dijalankan di Terengganu menyebabkan dia bercadang memperluaskan lagi operasi pembuatan raginya dari semasa ke semasa.

“Saya lihat permintaan tinggi terutama pada Ramadan, malah pada hari biasa kami turut mendapat tempahan dan biasanya permintaan diterima daripada peniaga sebanyak 800 biji sehari.

“Ragi buatan kami tidak diperluaskan lagi ke negeri lain. Saya bercadang mempertingkatkan jumlah pengeluaran untuk dipasarkan ke negeri di utara tanah air,” katanya.

Menurutnya, dia dan isteri sentiasa menjalankan uji kaji dari semasa ke semasa ke atas ragi yang dikeluarkan bagi memastikan kualitinya menepati kehendak pengguna.

“Boleh dikatakan pada setiap minggu kami membuat tapai untuk merasai sendiri keberkesanan ragi itu, sama ada ia sedap atau sebaliknya.

“Jika ia kurang sedap, kami akan mengubah resipi sedia ada dengan menambah atau mengurangkan ramuan digunakan supaya ia tahan lebih lama dan paling penting ragi itu berkesan untuk memaniskan tapai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Julai 2016 @ 12:19 PM