KEADAAN rumah Normah yang musnah dalam kebakaran. FOTO Ihsan FB APM.
KEADAAN rumah Normah yang musnah dalam kebakaran. FOTO Ihsan FB APM.
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: "Sejak lebih enam bulan lalu kami hidup hanya bertemankan lilin selepas bekalan elektrik dipotong namun tidak sangka ia mengakibatkan kediaman kami musnah dalam kebakaran," kata mangsa kebakaran di Jalan Kupang 4, Batu 4, Kampung Skudai Kiri, Normah Ibrahim, 45, malam tadi.

Normah yang bekerja sebagai operator pengeluaran kilang berkata, kejadian pada 9.30 malam itu dikatakan bermula di bilik tengah di kediamannya itu dipercayai berpunca dari api lilin.

"Saya hanya sempat menyelamatkan dokumen milik ahli keluarga. Kejadian mengakibatkan kami sekeluarga tinggal sehelai sepinggang dan lebih memilukan ia berlaku pada Ramadan.

"Buat sementara, kami menumpang di rumah adik di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Melana," katanya ketika dihubungi.

Normah berkata, dalam kejadian berkenaan, dua rumah milik adik-beradiknya yang terletak bersebelahan turut rosak.

Menurutnya, dia reda dengan ujian Allah dan yakin ada hikmahnya.

"Suami saya hanya membantu rakannya berniaga dan memiliki seorang cahaya mata berusia 13 tahun yang kini belajar di Melaka.

"Beban kewangan mengakibatkan kami tidak dapat melangsaikan tunggakan bil Tenaga Nasional Berhad (TNB) kira-kira RM5,000.

"Kini, kami runsing memikirkan anggaran kos bagi membaik pulih rumah kira-kira RM30,000," katanya.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Johor berkata, kebakaran menyebabkan rumah berkenaan musnah 90 peratus.

"Semua mangsa selamat dan operasi pemadaman kebakaran tamat pada jam 11.27 malam," katanya.

Orang ramai boleh menghulurkan sumbangan kepada keluarga Normah dengan menghubungi talian 010-4622927.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 April 2022 @ 10:54 PM