TENGKU Adnan (dua dari kanan) bersama isteri, Datin Seri Anggraini Sentiyaki (tiga dari kiri) menyerahkan replika kunci kepada Normah.
TENGKU Adnan (dua dari kanan) bersama isteri, Datin Seri Anggraini Sentiyaki (tiga dari kiri) menyerahkan replika kunci kepada Normah.

Kuala Lumpur: Seorang ibu tunggal daripada golongan asnaf, Normah Hamzah, 33, seakan tidak percaya rumah disewa bersama ibunya, Zainab Aripin, 76, sejak 20 tahun dulu kini menjadi milik keluarganya.

Manakan tidak, dengan pendapatan hanya RM1,100 sebulan sebagai jurujual di pusat membeli-belah, beliau perlu menyara Zainab dan enam anak serta seorang cucu berusia tiga tahun membuatkan Normah tidak pernah bermimpi memiliki rumah sendiri.

“Sejak tujuh tahun lalu kami terpaksa berpanas di dalam rumah kerana kipas rosak, pintu tiada tombol dan jeriji serta terpaksa bergelap enam bulan akibat lampu di ruang tamu terbakar.

“Saya kerap menangguh bayaran sewa iaitu RM124 sebulan serta bil air kerana tiada wang,” katanya yang berkahwin pada usia muda, tetapi ditinggalkan suaminya sejak lima tahun lalu.

Beliau ditemui selepas sesi penyerahan kunci rumah oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pada program Baiti Jannati @ Wilayah Persekutuan, di sini, baru-baru ini.

Normah yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi adalah antara 26 penghuni daripada golongan asnaf terpilih yang menerima rumah berkenaan menerusi program Baiti Jannati @ Wilayah Persekutuan anjuran Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP).

Pemberian rumah menerusi program Baiti Jannati @ Wilayah Persekutuan itu adalah inisiatif KWP membabitkan pengubahsuaian dan membaik pulih kediaman usang dengan kos hampir RM500,000 termasuk pemberian perabot rumah dan peralatan elektronik.

Program yang julung kali diadakan itu bertujuan membantu golongan asnaf termasuk ibu tunggal, warga emas dan penduduk miskin di Kuala Lumpur khususnya penghuni PPR yang menyewa lebih 20 tahun. Antara PPR terbabit ialah PPR Beringin, PPR Pantai Ria, PPR Kampung Limau, PPR Kerinchi dan PPR Sri Sabah.

Normah berkata, beliau tidak menduga kepulangannya daripada bercuti di Genting Highlands selama tiga hari dua malam tajaan KWP bakal merubah hidupnya apabila rumahnya turut diubah suai sepenuhnya.

“Saya terkejut melihat keadaan rumah saya yang dulunya daif kini sempurna apabila lantai ditukar baru, ada perabot seperti televisyen, sofa, katil, mesin basuh dan peti ais yang sebelum ini kami tidak mampu membelinya.– BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Jun 2017 @ 8:04 AM