NORMAH memasang pelita raya di halaman rumahnya di Kampung Kuala Talang, Tanjung Ipoh.  FOTO Amran Yahya
NORMAH memasang pelita raya di halaman rumahnya di Kampung Kuala Talang, Tanjung Ipoh. FOTO Amran Yahya
Amran Yahya

"PELITA raya tetap dipasang biarpun Aidilfitri tahun ini saya keseorangan di rumah tanpa anak dan cucu," kata warga emas Normah Suhor.

Normah, 77, ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kuala Talang, Tanjung Ipoh, Kuala Pilah, berkata hasratnya untuk menyambut lebaran tahun ini bersama empat anak, 10 cucu dan dua cicitnya tidak kesampaian apabila mereka yang kini menetap di Kuala Lumpur tidak dapat pulang kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Biasanya setiap pertengahan Ramadan (15 Ramadan), semua anak dan cucu akan pulang untuk bergotong-royong memasang pelita raya di sekeliling rumah.

"Ini menjadi tradisi keluarga kami sejak dahulu lagi. Apabila pelita raya dipasang, ia menggambarkan sudah sampai di pertengahan Ramadan dan ketika itu jugalah semua anak serta cucu akan berbuka puasa bersama sambil memasang pelita raya.

"Jiwa akan tenang dan gembira apabila melihat anak dan cucu berlari-lari bermain bunga api di halaman rumah, namun semua itu tidak kesampaian tahun ini apabila mereka memaklumkan tidak akan pulang menyambut Aidilfitri di kampung kerana PKPB," katanya.

Normah berkata, sehingga kini lebih dua bulan semua anak tidak pulang menjenguknya di kampung sejak PKP dilaksanakan pada 18 Mac lalu.

Katanya, suaminya meninggal dunia kira-kira lima tahun lalu dan sejak itu, dia tinggal sendirian di rumah kerana semua anak bekerja di Kuala Lumpur.

"Bagaimanapun, pada hujung minggu dan cuti umum, anak akan pulang menjenguk saya di kampung secara bergilir-gilir, tetapi kali ini terhalang kerana PKP.

"Ada antara mereka yang berhasrat untuk pulang namun saya menasihatkan agar tidak perlu berbuat demikian kerana membahayakan diri sendiri dan keluarga," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mei 2020 @ 5:39 PM