Che Ghazali menunjukkan daun ketum yang dirampas selepas menahan sebuah kereta di Dermaga Tanjung Lembung, Langkawi.
Che Ghazali menunjukkan daun ketum yang dirampas selepas menahan sebuah kereta di Dermaga Tanjung Lembung, Langkawi.
Hamzah Osman


Langkawi: Polis rampas daun ketum seberat 181 kilogram (kg) bernilai lebih RM7,000 dan menahan tiga lelaki berusia 44 dan 50 tahun di Dermaga Tanjung Lembung, Langkawi petang semalam.

Ketua Polis Daerah Langkawi Superintendan Dr Che Ghazali Che Awang berkata, kejayaan itu diperoleh selepas sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi menahan sebuah kereta yang cuba masuk ke pulau ini di dermaga itu pada jam 5.30 petang.

"Ketika ditahan kereta itu dinaiki tiga lelaki termasuk dua penumpang berusia antara 44 dan 50 tahun.

"Hasil pemeriksaan polis menemui 21 beg plastik putih dan tiga beg plastik hitam dalam bonet kereta yang mengandungi daun ketum," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi di sini, tadi.

Che Ghazali berkata, ketiga-tiga suspek termasuk seorang daripadanya adalah penduduk tempatan kini ditahan reman seminggu bermula semalam untuk siasatan lanjut.

"Siasatan juga mendapati daun ketum yang dirampas akan diproses oleh suspek untuk edaran sekitar Langkawi.

"Hasil ujian air kencing mendapati seorang suspek positif ganja, manakala dua lagi bebas dadah," katanya.

Katanya, kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000 atau dipenjara tidak melebihi empat tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Julai 2016 @ 6:33 PM