ANTARA air ketum yang dirampas dalam serbuan berkenaan. FOTO Ihsan PDRM
ANTARA air ketum yang dirampas dalam serbuan berkenaan. FOTO Ihsan PDRM
Zuliaty Zulkiffli


Sungai Petani: Polis menyerbu tiga lokasi di kawasan Kampung Sungai Layar Hujung, di sini dan menahan lapan individu kerana dipercayai terbabit dalam penjualan dan beli air ketum, semalam.

Dalam serbuan pertama jam 4 petang itu, polis menahan empat lelaki berusia antara 24 hingga 36 tahun.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, pemeriksaan menemukan sebuah tong ais oren yang didalamnya mengandungi 351 bungkus plastik lut sinar berisi cecair disyaki air ketum, enam bungkus plastik hitam mengandungi daun ketum yang dianggarkan seberat 30 kilogram (kg).

Turut ditemukan, pelbagai peralatan memasak yang disyaki digunakan untuk memasak daun ketum berkenaan.

"Berikutan itu, empat lelaki berkenaan ditahan dan barang rampasan dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda untuk tindakan lanjut.

"Hasil semakan mendapati kesemua mereka tidak mempunyai rekod jenayah sebelum ini dan mereka mengaku bekerja sebagai tukang masak dan membungkus air ketum untuk tujuan penjualan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Adzli berkata, dalam serbuan kedua jam 4.30 petang, pihaknya menahan tiga lelaki berusia 20 hingga 42 tahun di hadapan sebuah rumah berhampiran kawasan itu.

"Seorang daripadanya mengaku pemilik daun ketum berkenaan, manakala dua lagi adalah pekerjanya.

"Berikutan itu, pihak kami merampas 250 plastik lut sinar cecair yang disyaki air ketum yang dianggarkan sebanyak 62,500 mililiter (ml), 10 bungkus plastik hitam mengandungi daun ketum yang beratnya kira-kira 50 kg serta peralatan dapur yang disyaki digunakan untuk memasak air ketum," katanya.

Menurut Adzli, ketiga-tiga mereka dibawa ke IPD Kuala Muda untuk tindakan lanjut.

Dalam serbuan ketiga, polis menahan seorang wanita yang disyaki terbabit dengan penjualan air ketum di tepi sebuah rumah berhampiran tangkapan pertama dan kedua, jam 5 petang.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati wanita berusia 44 tahun itu mengaku perniagaan air ketum itu adalah milik suaminya.

"Berikutan itu, kami menahan wanita itu dan merampas sebuah tong ais oren yang di dalamnya mengandungi 168 bungkus plastik lut sinar berisi cecair disyaki air ketum anggaran beratnya 42,000 ml.

"Selain itu, kita turut merampas tiga bungkus plastik hitam mengandungi daun ketum anggaran berat 15 kg serta peralatan dapur memasak yang digunakan untuk memasak air ketum," katanya.

Adzli berkata, kesemua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Mei 2021 @ 8:56 AM