TIGA belas bungkusan daun ketum bernilai RM3,900 yang dirampas Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Terap susulan penahananan lelaki bersama kereta Suzuki Vitara di kawasan kebun getah di Naka malam tadi. FOTO Ihsan PDRM
TIGA belas bungkusan daun ketum bernilai RM3,900 yang dirampas Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Terap susulan penahananan lelaki bersama kereta Suzuki Vitara di kawasan kebun getah di Naka malam tadi. FOTO Ihsan PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi


INGIN mencari wang lebih menyebabkan penoreh getah sanggup menanggung risiko mengambil upah memunggah dan menghantar daun ketum ke tempat pengumpulan untuk diseludup ke negara jiran.

Bagaimanapun tindakan lelaki berketurunan Siam berusia 19 tahun itu mengundang padah apabila dia ditahan ketika membawa 13 bungkusan plastik hitam mengandungi daun ketum bernilai RM3,900 di dalam kereta Suzuki Vitara di kawasan kebun getah di Naka, Padang Terap, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Noh Idris berkata, polis yang menerima maklumat berhubung kegiatan itu ketika menjalankan Op Tapis menahan kereta terbabit pada 11.15 malam.

Menurutnya, polis kemudian menjalankan pemeriksaan di dalam kereta itu sebelum menemui 13 bungkusan plastik hitam mengandungi daun ketum seberat 130 kilogram di bahagian belakang kereta.

"Suspek kemudian ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap bersama kereta yang dirampas untuk tindakan selanjutnya," katanya.

"Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah dan direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan," katanya.

Noh berkata, suspek yang berasal dari Sik dan masih bujang bekerja sebagai penoreh getah mengambil upah memunggah dan menghantar daun ketum ke tempat pengumpulan di dalam kebun getah terbabit untuk diseludup ke negara jiran kerana mendapat permintaan tinggi.

"Suspek juga tiada rekod kesalahan lampau dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Ogos 2018 @ 12:12 PM