PENINJU Cuba, Namibia Flores antara atlet yang dipaparkan dalam kempen H&M Sport bagi musim ini.
PENINJU Cuba, Namibia Flores antara atlet yang dipaparkan dalam kempen H&M Sport bagi musim ini.
 KOLEKSI For Every Victory memperlihatkan H&M meraikan kuasa kejayaan peribadi khususnya dalam bidang sukan dan kecergasan.
KOLEKSI For Every Victory memperlihatkan H&M meraikan kuasa kejayaan peribadi khususnya dalam bidang sukan dan kecergasan.
PALET warna hitam, kelabu, merah jambu pucat dan emas diketengahkan dalam rekaan praktikal.
PALET warna hitam, kelabu, merah jambu pucat dan emas diketengahkan dalam rekaan praktikal.
SEBAHAGIAN daripada pasukan Olimpik Sweden yang akan bertanding di Brazil pada Ogos ini.
SEBAHAGIAN daripada pasukan Olimpik Sweden yang akan bertanding di Brazil pada Ogos ini.
Nor Faizah Mohamed


Teknologi hari ini menyaksikan pesatnya revolusi dalam pakaian sukan. Tiada lagi kemeja-T biasa dan seluar trek membanjiri arena sukan tempatan dan antarabangsa, sebaliknya ia diganti helaian yang boleh membantu mempertingkatkan prestasi atlet.

Bagi yang tidak bergelar atlet, padanan pakaian sukan yang sesuai mula menjadi inti pati penting sebelum bersenam atau melakukan aktiviti fizikal.

Rasionalnya, ia membantu melancarkan senaman dan mengurangkan masalah kekangan seperti yang berlaku pada helaian konvensional.

Mengetengahkan fungsi dan keselesaan maksimum, koleksi pakaian sukan era ini juga lebih elegan dan menepati keperluan stail semasa.

Seperti apa yang dipaparkan H&M menerusi himpunan H&M Sport musim ini, pakaian sukan bukan saja perlu berfungsi dengan baik untuk hasil prestasi maksimum malah pada masa sama mencetuskan impak personaliti kepada si pemakainya.

Mengetengahkan fungsi dan keselesaan maksimum, koleksi pakaian sukan daripada jenama fesyen nombor satu Sweden ini juga boleh dipadukan bersama helaian lain.

Fabrik yang digunakan pula membolehkan kulit bernafas dan tubuh bergerak selesa, selain mainan rona dan cetakan grafik yang tidak keterlaluan.

Himpunan dikenali For Every Victory ini memperlihatkan H&M meraikan kuasa kejayaan peribadi. Rekaan dan penghasilannya dibangunkan bersama input daripada ahli pasukan Olimpik Sweden dan kempennya mengetengahkan personaliti penuh inspirasi yang berjaya mencapai kejayaan tersendiri.

"Koleksi ini berkisarkan kepada prestasi tertinggi atlet dengan penampilan penuh gaya. Input daripada pasukan Olimpik Sweden juga banyak membantu sepanjang proses penghasilannya.

"Hasilnya ialah helaian sukan berprestasi tinggi, praktikal dan menepati trend fesyen terkini yang boleh digayakan semua," ujar Pengarah Rekaan dan Kreatif H&M, Pernilla Wohlfahrt.

Koleksi ini menampilkan gaya 'high-fashion' dengan kelebihan pakar dalam bidang sukan, selain memberi tumpuan kepada helaian untuk latihan dan aktiviti lasak yang diuji oleh pasukan Olimpik Sweden.

Pasukan terbabit membantu dari segi berkongsi pendapat mengenai rekaan, prestasi dan kebolehannya untuk dipakai dalam semua aktiviti sukan.

Selain itu, H&M tampil selaku pereka untuk pasukan Olimpik Sweden dan kontinjen Paralimpik - termasuk pakaian seragam pada upacara pembukaan - yang akan bertanding di Rio de Janeiro, Brazil pada Ogos ini.

Koleksi For Every Victory ini mempunyai ekspresi visual dan fahaman teknikal yang hampir sama dengan koleksi pasukan Olimpik Sweden dengan mengetengahkan palet warna hitam, kelabu, merah jambu pucat dan emas.

Kemeja-T, celana pendek dan legging menjadi helaian utamanya di samping coli sukan untuk wanita.

Material mudah kering dan membantu kulit bernafas menambah nilai kualitinya yang turut membantu memaksimumkan prestasi si pemakai.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Jun 2016 @ 5:03 AM