GAYA feminin dan bohemian tampilkan gaya lebih santai serta unik.
GAYA feminin dan bohemian tampilkan gaya lebih santai serta unik.
SKIRT labuh diberi sentuhan kaftan untuk penampilan yang lebih santai.
SKIRT labuh diberi sentuhan kaftan untuk penampilan yang lebih santai.
JAKET utiliti direka dengan perincian ringkas yang lebih menyerlahkan fungsinya sebagai helaian luar.
JAKET utiliti direka dengan perincian ringkas yang lebih menyerlahkan fungsinya sebagai helaian luar.
GANDINGAN helaian feminin dan pakaian sukan ini bercirikan fungsi serta praktikaliti.
GANDINGAN helaian feminin dan pakaian sukan ini bercirikan fungsi serta praktikaliti.
Oleh Nor Faizah Mohamed


Aspek kembara sering menjadi mainan dalam kanvas atau tema dalam fesyen. Aspek kembara itu dilihat sebagai unsur paling praktikal dalam menentukan haluan gaya musim terbabit, sekali gus memberi impak kepada keseluruhan trend di pentas peragaan global.

Mengambil aspek kembara sebagai tunjangnya, H&M Studio mengambil setiap peluang yang ada bagi menghimpunkan koleksi terbaik yang merangkumi erti sebenar meriahnya pesta musim ini.

Lasak dan penuh aksi. Namun glamor tetap dirai. H&M sebaik mungkin memaparkan elemen penting musim bunga dan panas yang lazimnya dikaitkan dengan penggembaraan menarik, percutian di pantai dan aktiviti santai di bawah teriknya mentari.

Bagaimanapun, semua idea skeptikal itu digarap semula dalam himpunan H&M Studio ini yang memperlihatkan kombinasi feminin dan bohemian untuk pelbagai aktiviti.

Sama ada ke pantai, hutan atau sekadar menghabiskan masa di pusat beli-belah, rekaan H&M Studio kali ini bercirikan fungsi dan praktikaliti tanpa mengehadkan kreativiti.

“H&M Studio untuk musim bunga dan panas 2016 ini ibarat kembara dalam penggayaan. Ia menceritakan wanita yang sentiasa meneroka atau mencari perkara baru, tidak kira di jalanan dalam sesak bandar atau menyertai perjalanan kembara di luar zon selesa.

“Ia menggabungkan fungsi bersama paparan feminin, misalnya pakaian sukan yang tidak kekok dibawa ke majlis keraian.

“Apa jua yang disarungkan sentiasa menampakkan gaya yang tidak keterlaluan,” ujar Ketua Pereka H&M, Pernilla Wohlfahrt mengenai inspirasi koleksi ini.

Elemen fungsi yang diangkat H&M Studio kali ini membuatkan penampilannya santai dan selesa. Helaian luar seperti jaket utiliti ditambah perincian ringkas sementara gaun dan skirt labuh diberi sentuhan kaftan dalam corak tribal.

Helaian sukan pula direka dalam padanan feminin antaranya paduan corak terang pada kemeja-T sutera dan disertai tunik yang menarik digayakan ke pantai juga pesta.

Kapas, linen dan kanvas antara fabrik utamanya selain sutera dan kulit pada sesetengah rekaan.

Kapas 100 peratus organik digunakan untuk hampir setiap helaian sementara skaf sutera pula dihasilkan daripada Tencel.

Penggunaan material yang ringan seperti ini membuatkannya mudah diselenggara dan tidak memerlukan ruang penyimpanan besar dalam beg kembara.

Sementara itu, rona terang yang sinonim dengan musim ini melatari hampir keseluruhan koleksi sambil sesekali diselangi ton pudar yang terarah kepada kuning pucat, merah legap, hijau lumut dan variasi tie-dye yang lebih neutral.

Tidak lengkap penampilan tanpa aksesori dan H&M Studio menyediakan beberapa padanan mudah seperti beg sandang, topi, skaf sutera dan sandal.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Mac 2016 @ 8:26 AM