H&M Sport serlahkan pakaian sukan yang selesa dan menarik digayakan kala bersenam.
H&M Sport serlahkan pakaian sukan yang selesa dan menarik digayakan kala bersenam.
PENGGUNAAN fabrik ringan dan berkualiti membolehkan kulit bernafas dan tubuh bergerak dengan baik.
PENGGUNAAN fabrik ringan dan berkualiti membolehkan kulit bernafas dan tubuh bergerak dengan baik.
KEMEJA-T mudah kering beri impak prestasi tinggi ketika bersenam atau menjalani latihan fizikal.
KEMEJA-T mudah kering beri impak prestasi tinggi ketika bersenam atau menjalani latihan fizikal.
TAHAN lasak dan praktikal antara kriteria yang diberi penekanan pada setiap rekaan helaian H&M Sport ini.
TAHAN lasak dan praktikal antara kriteria yang diberi penekanan pada setiap rekaan helaian H&M Sport ini.
Oleh Nor Faizah Mohamed


Sukan dan fesyen kini saling berkaitan. Sukar untuk membayangkan kombinasi dua aliran ini di atas kertas lakaran jika dihamparkan pada industri fesyen beberapa tahun lalu.

Malah, tidak pernah terlintas di fikiran pakaian sukan boleh tampak anggun apabila kena pada gayanya.

Bagaimanapun, dengan revolusi terkini dalam koleksi pakaian sukan yang diperkenalkan barisan atlet ternama dunia, nyata dua aliran itu mampu mencipta elemen tersendiri, selain menarik perhatian penggemar fesyen dan peminat sukan.

Seperti apa yang dipaparkan H&M menerusi himpunan H&M Sport musim ini, pakaian sukan bukan saja perlu berfungsi dengan baik tetapi pada masa sama mencetuskan impak personaliti kepada si pemakainya.

Mengetengahkan fungsi dan keselesaan maksimum, koleksi pakaian sukan daripada jenama fesyen nombor satu Sweden ini juga boleh dipadukan bersama helaian lain.

Fabrik yang digunakan pula membolehkan kulit bernafas dan tubuh bergerak dengan baik, selain mainan rona dan cetakan grafik yang lebih menonjol.

Kemeja-T longgar diganding bersama legging untuk gaya versatil kala menjalani program latihan peribadi.

Begitu juga baju yang disertakan coli sukan untuk hasil selesa sepanjang bersenam, sementara hoodie ditambah sebagai perlindungan apabila melakukan aktiviti larian di bawah terik mentari.

“H&M Sport musim ini berkisarkan kepada motivasi yang lebih segar dan senaman atau rejim latihan jalanan.

“Saya gemarkan hasil rekaan yang menzahirkan fungsi dan fesyen dalam masa yang sama,” kata pereka utama rangkaian pakaian wanita H&M Sport, Petra Smeds.

Untuk helaian lelaki, kemeja-T mudah kering memberi impak prestasi tinggi dalam variasi rona berinspirasikan alam semula jadi.

Celana pendek direka praktikal dengan keselesaan seperti menyarungkan helaian kapas, manakala kemeja-T khusus untuk aktiviti larian diberi perincian minimum bersama padanan fabrik ringan.

“Wujud tenaga urban dalam H&M Sport kali ini dengan setiap helaian membantu si pemakai lebih komited dan selesa pada setiap sesi latihan.

“Fungsi dan selesa memainkan peranan penting tanpa melupakan penampilan yang menarik,” kata Petter Klusell yang bertanggungjawab mengendalikan rekaan lelaki.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 September 2015 @ 9:52 AM