DARI kiri Carol, Ann-Sofie dan Leon bakal hadir dengan koleksi KENZO X H&M yang penuh eksentrik.
DARI kiri Carol, Ann-Sofie dan Leon bakal hadir dengan koleksi KENZO X H&M yang penuh eksentrik.

Ia antara kolaborasi paling ditunggu-tunggu fesyenista dunia. Ia juga antara kolaborasi yang dikatakan membantu menyemarakkan lagi ‘high-fashion’ (fesyen mewah) dalam kalangan penggemar ‘street-fashion’ (fesyen jalanan) generasi hari ini.

Justeru, apa yang dipertontonkan H&M dalam kolaborasinya bersama KENZO buat pertama kalinya akan menyerlahkan gandingan dua gaya, dua elemen dan dua prinsip berbeza untuk kepelbagaian hasil penuh eksentrik.

Ditunjangi dua Pengarah Kreatif KENZO, Carol Lim dan Humberto Leon bersama pasukan rekaan H&M kendalian Ann-Sofie Johansson, koleksi istimewa KENZO X H&M ini memperlihatkan variasi rekaan untuk wanita serta lelaki bersama himpunan aksesori menarik.

Sejak menyertai rumah fesyen Perancis itu pada 2011, Carol dan Leon meletakkan agenda fesyen tersendiri dengan koleksi padat warna serta corak, sekali gus menyerlahkan rekaan penuh impak yang digemari barisan selebriti dunia.

Pengaruh global dan amalan tradisi saling berbaur sambil diterapkan unsur tenaga fesyen jalanan bagi menghasilkan koleksi yang bukan saja memberi inspirasi tetapi mudah diakses di seluruh dunia.

Di KENZO, fesyen adalah terjemahan kepada kebebasan, keriangan dan nilai kreativiti individu.

“Kami tidak sabar untuk berkongsi koleksi KENZO X H&M ini di seluruh dunia. Tidak sabar melihat bercambahnya impak kreativiti, keseronokan dan cinta pada fesyen oleh penduduk dunia,” ujar Ann-Sofie.

“Dengan kolaborasi bersama H&M ini, kami cuba keluar daripada kebiasaan, meletakkan sasaran lebih besar dan membawa tenaga baru untuk KENZO yang diperoleh daripada masyarakat seluruh dunia,” kata Carol.

Tambah Leon, koleksi daripada kolaborasi ini akan memberi lebih banyak pilihan kepada peminat fesyen tanpa mengira latar belakang, warna kulit dan sebagainya.

“Kami mahu pastikan setiap helaian dalam koleksi ini mempunyai nilai tersendiri dan membuatkan si pemakai berasa istimewa.

“Tetapi dalam masa sama, kami mahu koleksi ini dihasilkan secara menyeluruh. Ini bermaksud seseorang itu akan berasa teruja memiliki kemeja-T koleksi ini sama seperti mereka mempunyai gaun mewah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Julai 2016 @ 5:04 AM