KITARAN ‘Close the Loop’ membolehkan pakaian lama dikitar semula menjadi tekstil untuk helaian baru.
KITARAN ‘Close the Loop’ membolehkan pakaian lama dikitar semula menjadi tekstil untuk helaian baru.
ANTARA koleksi H&M Conscious yang menggunakan fabrik yang dikitar daripada pakaian lama.
ANTARA koleksi H&M Conscious yang menggunakan fabrik yang dikitar daripada pakaian lama.
KOLABORASI dengan MIA semarakkan lagi kempen Minggu Kitar Semula yang bakal dijalankan H&M pada April ini.
KOLABORASI dengan MIA semarakkan lagi kempen Minggu Kitar Semula yang bakal dijalankan H&M pada April ini.
Nor Faizah Mohamed


Isu kitar semula bukanlah perkara baru dalam masyarakat kita. Boleh dikatakan saban hari media sosial juga konvensional menyarankan amalan kitar semula untuk kehidupan yang lebih sihat dan sejahtera.

Saat isu memulihara alam dan melestarikan sumber sedia ada diperkatakan, majoriti memberi tumpuan kepada keperluan asas dalam kehidupan iaitu air.

Bagaimanapun, skop lestari dan kitar semula itu luas maknanya. Air sememangnya penting dalam kehidupan, begitu juga beberapa perkara lain seperti pakaian.

Justeru, apa kaitannya pakaian dengan usaha melestarikan alam ini? Mudah. Pakaian lama atau yang tidak lagi muat di tubuh sepatutnya dikitar semula dengan cara memberikan pakaian yang tidak lagi boleh dipakai kepada individu lain.

Selain itu, menghantar pakaian yang tidak lagi diingini kepada pihak atau organisasi kitar semula dapat membantu mengurangkan bahan buangan lalu diubah menjadi helaian baru.

H&M antara label fesyen popular yang fokus dalam usaha kitar semula ini. Menerusi kolaborasi dengan penyanyi, MIA, inisiatif global terkini daripada jenama Sweden itu menyaksikan usaha pengumpulan ribuan tan pakaian berlangsung di lebih 3,600 kedainya.

MIA bertindak sebagai wajah kempen ini yang mengetengahkan impak pembuangan pakaian kepada alam sekitar.

Seiring dengan sambutan Minggu Kitar Semula Dunia yang buat pertama kalinya berlangsung pada 18 hingga 24 April ini, H&M menyasarkan pengumpulan lebih 1,000 tan pakaian lama dan tidak diingini yang diperoleh daripada pelanggannya di seluruh dunia.

Inisiatif itu adalah sebahagian daripada matlamat H&M untuk menutup kitaran pembuangan pakaian atau tekstil hingga menjadikannya bahan toksik yang berbahaya kepada alam sekitar.

Kitaran yang dikenali ‘Close the Loop’ ini adalah proses penghasilan pakaian baru yang diambil daripada pakaian lama atau tidak diingini.

Tujuan ‘Close the Loop’ ini juga bagi mewujudkan satu kitaran khas tekstil agar pakaian yang tidak diingini boleh dikitar dan diguna semula bagi menghasilkan gentian tekstil untuk produk baru.

Matlamat jangka panjangnya pula tertumpu kepada sifar pakaian di tapak pelupusan sampah, sekali gus menjimatkan penggunaan sumber alam semula jadi.

Dengan mengitar semula hanya satu kemeja-T, sebanyak 2,100 liter air dapat dijimatkan dan bayangkan kesannya jika 1,000 tan pakaian dapat dikumpulkan sepanjang Minggu Kitar Semula, bulan depan.

Dalam masa sama, pelanggan yang ingin menyumbang pakaian lama mereka, tanpa mengira jenama, boleh mengunjungi mana-mana kedai H&M dan serahkan kepada bahagian kitar semula.

Bagaimanapun, pastikan pakaian itu berada dalam keadaan elok dan bersih.

Amalan serahan pakaian lama ini mula dijalankan di H&M sejak 2013. Dengan cara ini, jumlah pembuangan pakaian di pusat pelupusan sampah dapat dikurangkan dan sebagai balasan, pelanggan berpeluang menerima baucar yang boleh digunakan untuk pembelian pakaian baru.

Sejak amalan itu dijalankan, H&M berjaya mengumpul lebih 25,000 tan pakaian hingga membolehkannya memperkenalkan koleksi pakaian baru menggunakan tekstil kitar semula yang dilancarkan dua tahun lalu.

Bagi meraikan penganjuran pertama Minggu Kitar Semula pada April ini, H&M mensasarkan pengumpulan lebih banyak tekstil menerusi kempen inisiatif ‘Garment Collecting’.

Selain kempen yang dilakukan MIA, barisan selebriti dan aktivitis alam akan melakukan demonstrasi kitar semula pakaian lama menjadi helaian baru malah lebih menarik.

Pelanggan juga digalakkan menyertai kempen ini dengan merakam video aktiviti kitar semula pakaian lama mereka yang kemudiannya dimuat naik ke media sosial dengan meletakkan hashtag #HMrehaul.

Seterusnya, bawa hasil rekaan kitar semula itu ke cawangan H&M untuk disenaraikan sebagai sebahagian daripada gerakan fesyen hijau ini.

Untuk maklumat lanjut mengenai ‘Garment Collecting’ dan ‘Close the Loop’ ini boleh layari laman sesawang di www.hm.com/garmentcolleting.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Mac 2016 @ 11:48 AM