Nor Faizah Mohamed


Penampilannya dinanti. Gayanya dirai. Apa jua yang dipadankan jejaka ini pasti diperhati penuh teliti. Maskulin dan berani, tetapi masih selesa juga seksi.

Semuanya itu merangkumi apa yang dilihat pada David Beckham sejak beberapa musim kebelaka­ngan ini. Tidak kira jaket, kemeja, padanan sukan mahupun helaian santai, bintang bola sepak dunia ini tahu apa yang perlu dilakukan saat koleksi Modern Essentials dipadankan ke tubuhnya.

Beckham sekali lagi muncul selaku bintang utama dalam kempen musim bunga dan panas H&M kali ini. Dengan memberi fokus kepada keselesaan, fabrik berkualiti dan gaya terkini, rangkaian terbaru ini menjadi kesinambungan kerjasama antara label Sweden itu dengan Beckham.

Corak jalur dan padanan polos memperlihatkan kombinasi kontemporari, tanpa mengetepikan elemen sejarah yang sentiasa menjadi inti pati H&M dalam kebanyakan koleksi lelakinya.

Selain itu, kempen kali ini menonjolkan Beckham menghabiskan masanya di Lisbon, Portugal yang dirakam pengarah terkenal, Fredrik Bond. Ini kali kedua kerjasama Beckham dan Bond selepas iklan yang menampilkan pelawak Kevin Hart mengenakan helaian sama dengan Beckham.

Kempen kali ini mengetengahkan peranan Beckham sebagai peneraju gaya lelaki di seluruh dunia. Bagi bekas kapten England itu, gabungan tradisi dan idea segar dalam pakaian lelaki berupaya membantu industri itu bergerak ke depan.

“Penggambaran untuk kempen H&M sentiasa menyeronokkan. Mereka faham dengan stail dan karakter saya. Helaian segak dalam himpunan Modern Essentials ini menjadi antara kegemaran saya contohnya sut jaket.

“Ia sut era baru. Saya sukakan elemen sukan pada zip jaketnya tetapi pada masa sama ia menyerlahkan gaya kemas,” katanya.

Setiap musim Beckham akan memilih helaian yang sesuai daripada himpunan Modern Essentials lalu dipersembahkan secara berperingkat.

Gelombang kempen pertama bagi musim ini bermula pada 25 Februari sementara kempen kedua pada 17 Mac ini.

SEJENAK BERSAMA DAVID BECKHAM

SOALAN (S): Ceritakan lebih lanjut mengenai pembabitan anda dalam koleksi ‘Modern Essentials selected by David Beckham’ kali ini.

JAWAPAN (J): Setiap musim saya berpeluang memilih helaian baru daripada koleksi Modern Essentials. Ia peluang menarik kerana saya dapat mengemas kini koleksi pakaian untuk beberapa bulan akan datang.

Saya tertarik melihat perkembangan pakaian lelaki ketika ini dan bagaimana helaian klasik dikekalkan sementara tradisi baru diperkenalkan.

S: Lazimnya apa yang anda lihat atau cari pada setiap helaian itu?

J: Bagi saya, semuanya berkaitan dengan stail. Setiap helaian itu dapat membantu memberikan penampilan terbaik pada diri anda. Saya tahu ada lelaki seperti saya yang sukakan gaya baru setiap musim. Semua yang mereka perlukan ada dalam koleksi Modern Essentials ini.

S: Apakah perbezaan yang dibawakan dalam koleksi musim bunga 2016 ini?

J: Apabila saya memilih helaian yang sesuai, saya terlebih dulu memikirkan kepentingan pakaian sukan dan kasual untuk lelaki zaman ini. Helaian yang ditempah masih jadi keutamaan dan ada beberapa sut menarik dalam koleksi ini.

Helaian seperti jaket berzip dan kemeja-T basahan mula jadi helaian penting dalam penggayaan. Ia juga boleh tampak segak apabila kena pada padanannya.

S: Apakah helaian kegemaran anda dalam koleksi ini?

J: Jaket berzip kapas rona biru kelasi helaian yang perlu ada pada setiap lelaki. Ia mudah dipadankan dan saya sukakan nilai warisan rekaan pakaian lelaki yang ada padanya.

Tetapi pada masa sama ia baru dan moden. Itu antara yang menarik perhatian saya, sesuatu yang boleh saya pakai berulang kali hingga ia menjadi sebahagian daripada gaya peribadi saya.

S: Mengapa kemeja polo amat penting dalam koleksi ini?

J: Saya gembira apabila dapat menyenaraikannya dalam koleksi ini. Kemeja polo antara pakaian kegemaran kerana ia mengingatkan saya kepada gaya lelaki di tempat kelahiran saya, London.

Kemeja polo ini lebih segak, potongannya lebih lurus dengan sedikit perincian di kolar yang menjadikannya lebih segar dan berbeza. Ia boleh disuai pakai di bawah sut, bersama jaket berzip atau begitu saja.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mac 2016 @ 11:54 AM