Palembang: Kesempatan serta peluang diberikan jurulatih skuad wushu kebangsaan, Lee How Chinh mahu digunakan sepenuhnya oleh Pang Li Wen untuk membuktikan kebolehannya pada temasya Sukan Universiti Asean (AUG) edisi ke-17 di Palembang.

Penuntut Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) di Kampar, Perak itu mahu menutup mulut pengkritik yang sebelum ini mendakwa penyenaraian namanya di AUG kali ini atas ihsan How Chinh yang juga salah seorang pensyarah di institusi pengajian tinggi itu.

“Ini kali pertama saya beraksi di peringkat antarabangsa dan sudah tentu saya gementar, tapi pada masa sama tetap seronok.

“Secara peribadi, saya memasang impian mencatat keputusan positif kerana ini platform untuk saya lebih berjaya pada masa depan.

“Paling penting, saya mahu membuktikan layak ke Palembang atas dasar merit dan bukannya disebabkan jurulatih kami pensyarah di tempat saya menuntut,” kata atlet berusia 19 tahun itu.

Li Wen akan menyertai acara sanda bawah 52kg dan sedar bukan mudah baginya untuk menyelitkan diri dalam kalangan peserta terbaik.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Disember 2014 @ 7:27 AM