Palembang: Namanya mungkin tidak seharum Maria Sharapova, tetapi tidak ada sebab untuk peminat sukan tenis negara melupakan Jawariah Nordin selepas ini.

Penuntut UNIMAP di Perlis berusia 24 tahun itu satu-satunya atlet negara memenangi emas acara tenis perseorangan wanita di temasya Sukan Universiti Asean (AUG) dan sejarah itu dilakar di Lapangan Tenis Bukit Asam, semalam.

Sejak AUG diperkenal pada 1981, belum ada atlet wanita negara membawa pulang emas dan kemarau 33 tahun itu berakhir pada temasya ke-17 di Palembang.

Malah, Jawariah juga sebenarnya sudah boleh berbangga apabila muncul atlet pertama memenangi gangsa pada temasya sama di Laos, dua tahun lalu.

Daripada gangsa di Laos, dia berjaya mengubahnya ke emas dan semua kelemahan terutama pukulan kilasnya pantas diperbaiki bagi menyiapkan diri sebelum ke Palembang.

Semalam, Jawariah menundukkan atlet pilihan dari Thailand, C Jundakate 7-6, 7-5 pada perlawanan mendebarkan selama empat jam.

“Saya sangat puas hati memenangi emas dan gembira menyumbangkan pingat ini buat kontinjen negara.

“Saya memberikan segala-galanya pada perlawanan ini. Tidak ada apa untuk dipertaruhkan dan justeru, saya tidak perlu memikirkan apa-apa,” katanya.

Jawariah mengakui dia langsung tidak menjangka akan menang kerana sedar penguasaan Thailand dan Indonesia dalam acara berkenaan.

“Atlet kedua-dua negara itu memang bagus dan saya hadir selaku bukan pilihan.

“Pada hujung permainan iaitu ketika mendahului 5-2, saya agak tertekan hingga membenarkan lawan memenangi 3 set untuk mengikat kedudukan 5-5.

“Selepas menenangkan diri, saya berjaya bangkit dan memerangkap lawan hingga dia melakukan kesilapan demi kesilapan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Disember 2014 @ 5:08 AM