Palembang: ATAS kertas, Malaysia hanya perlu seri ketika bertemu Singapura pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan andai mahu layak ke separuh akhir bola sepak Sukan Universiti Asean (AUG) 2014 di Palembang.

Begitupun, jurulatih Azuan Zain tidak mahu mengambil sebarang risiko sebaliknya beliau tetap mengarahkan anak buahnya memburu kemenangan.

“Bahaya jika kita hanya bermain untuk seri. Kami sedar hakikat itu. Justeru, perlawanan menentang Singapura esok (hari ini) sangat penting.

“Kita tidak boleh mengharapkan kelebihan jaringan sebagai tiket untuk bermain sambil lewa.

“Kita perlu menang dan saya tidak berani mengambil sebarang risiko,” katanya.

Malaysia menduduki tangga kedua Kumpulan A apabila mengumpul tiga mata daripada dua perlawanan, sama seperti Singapura, tetapi dibezakan dengan jumlah jaringan.

Anak buah Azuan menang 4-0 ke atas Timor Leste, Selasa lalu manakala Singapura tewas 0-3 di tangan Thailand.

Kelmarin, Malaysia tewas 1-2 kepada Thailand manakala Singapura mengatasi Timor Leste, 3-0.

Berdasarkan keputusan itu, Malaysia memiliki kelebihan jaringan berbanding Singapura dan andai seri hari ini, anak buah Azuan pasti mengiringi Thailand ke separuh akhir.

“Singapura pasukan bagus. Mujurlah setakat ini tiada pemain kita yang cedera dan semuanya boleh diturunkan.

“Semua pemain kita juga bebas daripada penggantungan. Justeru saya akan menurunkan barisan terbaik untuk memastikan kita layak ke separuh akhir,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Disember 2014 @ 5:10 AM