SKUAD karate negara meraikan pingat emas acara kumite Sukan University Asian Palembang 2014.
SKUAD karate negara meraikan pingat emas acara kumite Sukan University Asian Palembang 2014.

Palembang: “Selepas peserta kedua (M Mathivani) tewas di tangan atlet Indonesia, saya sedar bahawa tugas saya menjadi semakin berat kerana saya adalah penentu kepada keputusan yang bakal dicapai skuad negara.

“Ini tempat mereka dan di dalam sukan tempur, kelebihan biasanya memihak kepada tuan rumah.

“Pertemuan penentuan menentang atlet Indonesia, Merlin (Entanoing) bukan mudah kerana selain sokongan peminat tempatan, saya perlu menumpukan sepenuh perhatian terhadap usaha mencari mata,” kata S Shree Sharmini, 22.

Shree muncul wira skuad kumite berpasukan wanita apabila berjaya mengatasi Merlin 2-0 sekali gus memastikan emas keenam karate di temasya Sukan Universiti Asean (AUG) 2014 Palembang.

Gandingannya bersama A Nisha dan M Mathivani dinobatkan sebagai pemenang emas selepas mengalahkan Indonesia 2-1.

“Apabila Mathivani tewas, saya tidak lagi boleh mengambil risiko sebaliknya perlu mencari mata serta mempertahankannya.

“Ketika mengatasi lawan 2-0, saya hanya perlu mengelak daripada terkena tumbukan dan tendangan lawan kerana ia boleh menjejaskan peluang untuk menang.

“Mujur kedudukan itu kekal hingga tamat masa dan kami menang acara ini,” katanya yang pernah merangkul emas di Sukan Sea Myanmar serta gangsa di Sukan Asia Incheon baru-baru ini.

Temasya AUG 2014 adalah yang pertama buat Shree dan dia berazam untuk mempertahankan emas yang dimenangi pada temasya akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Disember 2014 @ 5:10 AM