Palembang: “Saya masih belum serik. Kecederaan sebegini biasa berlaku dalam sukan tempur.

“Cuma saya sedikit terkilan dan kecewa apabila lawan dari Myanmar itu seolah-olah sengaja mahu mencederakan saya.

“Apatah lagi keadaan ini berlaku pada penyertaan pertama saya di AUG,” kata atlet wusyu negara, Pang Li Wen, 19.

Li Wen, cedera di lutut kanan ketika beraksi pada pusingan kedua kategori sanda wanita bawah 52 kg menentang atlet Myanmar Mei Mei Yaw.

Li Wen terpaksa diusung keluar untuk menerima rawatan akibat kecederaannya itu.

Dia yang ditemui kemudian berkata, risiko seperti yang dialaminya adalah lumrah bagi mana-mana atlet yang menyertai sukan tempur dan tetap tersenyum walaupun terpaksa dipapah untuk bergerak.

“Saya akan terus berusaha memperbaiki lagi skil yang ada sekali gus membuktikan bahawa saya juga boleh berjaya seperti atlet lain,” katanya.

Pada temasya Sukan Universiti Asean (AUG) 2014 Palembang, skuad wusyu membawa pulang dua emas, empat perak dan satu gangsa sekali gus melepasi sasaran yang ditetapkan iaitu satu emas dan satu perak.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Disember 2014 @ 5:10 AM