DUA pemain negara (jersi kuning) cuba menampan bola libasan pemain  Indonesia.
DUA pemain negara (jersi kuning) cuba menampan bola libasan pemain Indonesia.

Palembang: Gara-gara gagal mengawal emosi, Malaysia hanya sekadar meraih gangsa acara sepak takraw berpasukan lelaki di temasya Sukan Universiti Asean (AUG) 2014 selepas tewas 2-0 di tangan Indonesia, semalam.

Perak yang diharapkan terlepas begitu saja dan hanya gangsa diraih kontinjen negara di gelanggang Conoco Philips, Palembang.

Jurulatih Amir Abu Bakar berkata, regu kedua negara yang dibarisi Mohamad Hisham Mat, Muhamad Kamal Ishak dan Muhamad Suhairi Sulaiman bermain dalam keadaan tertekan selepas Muhamad Kamal dilayangkan kad kuning oleh pengadil kerana sengaja melambatkan permainan.

“Selepas dilayangkan kad amaran itu, permainan mula kelam kabut dan akibatnya kita tewas 10-21, 21-13 dan 4-21.

“Memang saya kecewa dan mereka perlu bangkit untuk saingan regu dan double selepas ini,” katanya.

Kesilapan itu turut diakui tekong Mohamad Hisham yang berkata dia dan rakan sepasukan gagal menyerap tekanan selepas Muhamad Kamal diberi kad amaran.

“Itu punca tewas sedangkan kami diharapkan untuk mengikat kedudukan selepas regu pertama tewas.

“Secara individu, saya mahu menebus kesilapan ini dalam acara regu dan mahu menghadiahkan sesuatu buat mengubat luka,” katanya.

Sementara itu, di Kompleks Badminton PSSI, kontinjen negara terus berputih mata apabila empat atlet taekwondo, poomsae dan kyorugi tewas di tangan lawan masing-masing.

Jurulatih skuad taekwondo, Moi Chee Keong berkata, atlet negara perlukan lebih pendedahan berbanding negara lain yang menghantar atlet kebangsaan masing-masing.

“Kekalahan ini membuktikan kita perlukan atlet lebih berkualiti. Thailand, Indonesia serta Filipina semuanya menghantar atlet kebangsaan sedangkan kita cuma menghantar di peringkat universiti saja.

“Esok akan ada tujuh lagi atlet kita bertanding dan saya jangkakan sekurang-kurangnya satu emas pasti dalam genggaman,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Disember 2014 @ 6:57 AM