Halldorsson (atas) tinggalkan bidang perfileman demi bola sepak.
Halldorsson (atas) tinggalkan bidang perfileman demi bola sepak.
Reuters

Paris: Sekiranya Iceland yang tampil buat kali pertama pada saingan Euro melangkah ke pusingan kedua hasil keputusan bertemu Austria hari ini, kredit wajar diberikan kepada seorang doktor gigi serta pengarah filem.

Iceland dengan populasi 330,000 penduduk, negara paling kerdil pernah layak ke pusingan akhir saingan Euro, nyata memiliki status berbeza apabila mereka berjaya mengikat Portugal tanpa jaringan serta seri 1-1 dengan Hungary pada dua perlawanan peringkat Kumpulan F.

Bermakna, kemenangan atau satu lagi keputusan seri bertemu Austria akan menyaksikan Iceland mara ke pusingan kedua, kisah dongeng yang mungkin boleh diterjemahkan ke filem.

Penjaga gol Hannes Halldorsson adalah individu paling layak untuk tugas itu selepas meninggalkan karier dalam bidang perfileman untuk menjadi pemain profesional pada 2014 dengan yang pertama di Norway sebelum ke Belanda.

Halldorsson yang mengarahkan video pertandingan nyanyian Eurovision pada 2012, sudah berjaya menafikan 14 cubaan tepat, rekod paling cemerlang diraih berbanding penjaga gol lain.

Pemain berusia 32 tahun itu bukan sekadar bertindak selaku penyelamat benteng terakhir malah ketika bertemu Portugal, dia melakukan 28 hantaran yang kedua paling banyak berbanding pemain Iceland lain.

Sewaktu bertemu Hungary pula Halldorsson melakukan 35 hantaran, sekali gus paling banyak berbanding rakan sepasukan lain.

Statistik berkenaan menggambarkan tekanan dilalui Iceland pada kedua-dua perlawanan itu apabila mereka hanya meraih 33.5 peratus penguasaan permainan, paling rendah berbanding pasukan lain.

“Jika seseorang memberikan pilihan untuk tiket ke pusingan kedua, sudah pasti kami akan mengambil peluang itu,” kata jurulatih Heimir Hallgrimsson.

“Setakat ini kami berjaya melakukan yang terbaik meskipun kerap menerima tekanan. Kami berjaya mencipta beberapa peluang dan itu juga mungkin taktikal yang akan digunakan apabila bertemu Austria, iaitu kekal bertahan dan biarkan lawan menyerang,” katanya.

Hallgrimsson yang akan mengambil alih tugas jurulatih secara bersendirian selepas seorang lagi jurulatih Lars Lagerback bersara pada musim panas ini, turut kekal menjadi doktor pakar pergigian di sebuah bandar kecil di Iceland.

Pada sidang akhbar semalam, beliau menggesa barisan pemainnya untuk lebih banyak menguasai bola apabila bertemu Austria, pasukan pilihan, tetapi hanya meraih satu mata setakat ini dan gagal meledak sebarang gol.

“Mereka nampak beraksi kurang baik pada dua perlawanan sebelum ini. Harap prestasi seperti itu akan berterusan,” kata Hallgrimsson mengenai lawannya itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Jun 2016 @ 11:40 AM