SIGURDSSON (kiri) melakukan sepakan akrobatik ke arah gawang England.
SIGURDSSON (kiri) melakukan sepakan akrobatik ke arah gawang England.
Reuters

Nice, Perancis: Jurulatih Iceland Heimir Hallgrimsson percaya anak buahnya mampu melakar kejayaan lebih hebat selepas mencipta kejutan terbesar dalam sejarah Kejohanan Eropah dengan mengalahkan England Isnin lalu.

Kemenangan menakjubkan 2-1 ke atas England pada pusingan kedua yang menyaksikan pengurus Roy Hodgson meletakkan jawatan membolehkan mereka menempah tiket ke suku akhir bertemu pasukan tuan rumah Perancis.

“Kami semakin meningkat dan saya berpendapat ini bukan perlawanan terbaik kerana kami boleh melakukan yang lebih baik,” kata Hallgrimsson.

“Saya berharap kami boleh beraksi lebih hebat selepas ini.”

Selepas ketinggalan pada minit ke-4 menerusi gol sepakan penalti Wayne Rooney, Iceland pantas menyamakan kedudukan hasil percubaan Ragnar Sigurdsson sebelum Kolbeinn Sigthorsson meletakkan Iceland di depan pada minit ke-18.

Ketika mereka terpaksa lebih banyak bertahan pada separuh masa kedua, mereka masih berpeluang mencipta jaringan apabila pemain terbaik perlawanan Sigurdsson melakukan sepakan akrobatik di celah-celah pemain pertahanan tengah.

“Mereka (England) fikir ini perlawanan mudah buat mereka, tapi kami menaruh keyakinan dengan kemampuan kami,” kata Sigurdsson. “Saya fikir mereka panik. Ia bukan mudah untuk menjaringkan gol menentang Iceland.”

Ketika Iceland, negara yang mempunyai 330,000 penduduk akan dilabel sebagai pasukan bukan pilihan menentang Perancis Ahad ini, masih ada yang percaya mereka mampu melakukan kejutan.

Iceland mengalahkan Belanda di laman sendiri dan gelanggang lawan pada pusingan kelayakan yang mengakibatkan Belanda gagal mara ke Euro 2016 dan pada kempen peringkat kumpulan pusingan akhir, mereka mencatat keputusan seri dengan Portugal dan Hungary sebelum mengalahkan Austria.

“Saya percaya Perancis pasukan bagus, mungkin sama seperti England. Perancis masih belum mempamerkan aksi terbaik mereka dan kami juga begitu,” kata Sigurdsson.

“Kami mahu lebih banyak menguasai dan bermain lebih teknikal.”

Beberapa kejutan berlaku di Kejohanan Eropah dengan Denmark merangkul kejuaraan pada 1992 selepas hanya beraksi untuk menggantikan Yugoslavia dan pasukan kerdil Greece berjaya mencipta nama pada 2004 selepas tidak pernah beraksi di final selama 24 tahun.

Namun laluan Iceland masih berliku kerana bakal bertemu Itali atau Jerman jika berjaya mengatasi pasukan tuan rumah di Stade de France.

“Sekarang pemain sudah melepasi halangan ini dan setiap halangan yang mereka akan tempuhi selepas ini akan semakin kecil, mentaliti mereka sudah berubah,” kata Hallgrimsson.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Jun 2016 @ 5:19 AM