HALLGRIMSSON akan mengendali Iceland selepas Euro 2016.
HALLGRIMSSON akan mengendali Iceland selepas Euro 2016.
Reuters

Stockholm: Kejayaan Iceland untuk berdepan Perancis di suku akhir Euro 2016 mengejutkan ramai pihak tetapi tidak bagi pemain tengah Nigeria Dickson Etuhu yang pernah berkerja dengan jurulatih bersama dari Sweden itu, Lars Lagerback.

Mengamalkan corak bertahan jitu, kerja keras dan serangan balas pantas, pemain Lagerback meraih keputusan seri ketika menentang Portugal serta Hungary dan menewaskan Austria di peringkat kumpulan sebelum menyingkirkan England pada saingan 16 pasukan terakhir.

“Beliau mungkin jurulatih paling tenang,” kata Etuhu yang pernah bermain di bawah Lagerback ketika menjadi jurulatih Nigeria pada Piala Dunia 2010.

“Apabila anda mempunyai jurulatih sepertinya yang memikul sendiri semua tekanan, ia menjadikan lebih mudah buat anda sebagai pemain untuk beraksi baik.”

Iceland mempunyai situasi luar biasa dengan jurulatih bersama Lagerback yang berusia 67 tahun serta anak watan Iceland berumur 49 tahun, Heimir Hallgrimsson.

Bagaimanapun Hallgrimsson akan mengendalikan pasukan kebangsaan negaranya selepas kejohanan ini, bersendirian.

Etuhu, 34, yang bermain untuk kelab Inggeris Sunderland dan Fulham selain pernah mewakili Nigeria 20 kali, kini beraksi untuk AIK Solna, tempat tinggal Lagerback di Sweden.

Rakan sepasukan AIK dan pertahanan Iceland Haukur Hauksson baru-baru ini bercakap mengenai apa yang dipanggilnya sebagai ‘taktikal membasuh minda’ Lagerback dengan Etuhu mengingatinya sejak dari Piala Dunia di Afrika Selatan.

“Apa yang diajarnya itu sangat spesifik, sangat teliti. Ia menjadikan anda terbiasa dengannya kerana sudah banyak kali berlatih,” katanya. “Antaranya membabitkan melintangkan bola, bergerak di sudut, tidak membenarkan bola terlepas di bahagian tengah serta penyerang berkerja dari bawah.

“Apabila anda mempunyai penyerang yang biasa bekerja keras, ia akan menjadikan lebih mudah buat pemain tengah. Bukan mudah untuk mengamalkan taktik itu sepanjang masa, tapi ia memang berkesan.”

Etuhu berkata kejayaan Lagerback sebagai pengurus antarabangsa Sweden, Nigeria dan kini Iceland adalah gabungan disiplin dan tumpuan teliti.

“Beliau sentiasa menekankan apa yang dimahukan. Beliau sangat mudah - sama ada anda melakukannya mengikut cara saya atau anda tidak bermain langsung’, tapi beliau berkata dengan cara yang tenang, lemah lembut serta relaks.

“Beliau mempunyai aura yang anda tidak boleh belajar. Ia seperti sama ada anda mempunyainya atau tidak. Tidak banyak jurulatih yang saya jumpa mempunyainya,” kata Etuhu.

Terkenal dengan sikap bagaikan tiada perasaan, Lagerback jarang menunjukkan reaksi setiap kali pasukannya menjaringkan gol dan Etuhu mendedahkan yang jurulatih itu juga jarang melenting dalam bilik persalinan.

“Beliau tidak pernah meninggikan suara. Beliau menunjukkan kuasa tanpa perlu melakukannya,” katanya.

Tanpa mengambil kira sama ada anak buahnya berdepan pilihan kejohanan seperti Perancis atau pasukan yang tidak begitu terkenal pada pusingan kelayakan, strategi perlawanannya masih kekal sama.

“Beliau percaya dengan apa yang beliau percaya dan anda tidak boleh mengubah fikirannya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Julai 2016 @ 10:48 AM