AFP

Bordeaux: Jurulatih Hungary Bernd Storck memuji penjaga gol berusia 40 tahun Gabor Kiraly selepas dia menjadi pemain tertua dalam sejarah Kejohanan Eropah ketika pasukannya menang mengejut 2-0 ke atas negara jiran Austria, semalam.

Kiraly yang terkenal dengan seluar trek kelabu, meraikan pencapaian itu dengan mengawal pintu golnya daripada dibolosi bagi mengatasi rekod pemain Jerman Lothar Matthaus yang berusia 39 tahun ketika beraksi di Euro 2000.

“Gabor dipilih kerana dia seorang pemain yang hebat,” kata Storck. “Saya tidak pernah kata mempunyai pemain tua, saya hanya ada pemain baik. Saya fikir dia masih seorang daripada pemain terbaik dunia.

“Dia menyumbang kepada kejayaan kami dengan mengekalkan rekod bersih. Dia memimpin pasukan ini untuk menang dan semua kerja kerasnya berbaloi.”

Gol separuh masa kedua Adam Szalai dan Zoltan Stieber membolehkan Hungary menang aksi pembukaan Kumpulan F, kemenangan pertama mereka di kejohanan itu mereka menduduki tempat ketiga pada 1964.

Hungary yang tampil di pusingan akhir kejohanan utama mereka sejak Piala Dunia 1986, mengintai tempat dalam kelompok 16 terbaik apabila mereka bertemu Iceland di Marseille pada Sabtu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Jun 2016 @ 9:26 AM