IMEJ diambil dari siaran berita menunjukkan kawasan kanak-kanak terbabit diseret aligator ke dalam tasik di resort berkenaan.
IMEJ diambil dari siaran berita menunjukkan kawasan kanak-kanak terbabit diseret aligator ke dalam tasik di resort berkenaan.
Reuters

Orlando (Amerika Syarikat): Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun hilang dipercayai diseret seekor aligator ke dalam tasik di pusat peranginan di Disney World, Grand Floridian Resort & Spa, kata pihak berkuasa semalam.

Ketika kejadian, lima sekeluarga dari Nebraska itu sedang bercuti dan berendam di dalam tasik sekitar jam 9.20 malam petang kelmarin, apabila reptilia yang dipercayai sepanjang antara 1.2 hingga dua meter itu menarik mangsa ke dalam Seven Seas Lagoon.

Syeriff Orange County, Jerry Demings berkata, selain pegawai penguatkuasa undang-undang, anggota hidupan liar dan marin turut dikerah bagi membantu mencari kanak-kanak berkenaan.

“Ayah kanak-kanak itu cuba masuk ke dalam air bagi menyelamatkannya, tetapi gagal dan luka kerana bergelut dengan buaya itu,” katanya.

Katanya dalam sidang akhbar semalam, mangsa dan keluarganya bermain di kawasan yang mempunyai papan tanda ‘dilarang berenang.’

Sementara itu, jurucakap pejabat syerif daerah Orange, Jeff Williamson berkata: “Kami masih berharap dapat menemui mangsa, namun sejujurnya kemungkinan itu semakin pudar.”

Aligator haiwan seperti buaya yang kerap ditemui di kawasan air tawar Florida, kata Nick Wiley dari perkhidmatan perikanan dan hidupan liar negeri itu.

Kejadian itu tragedi terbaru di Orlando, hanya dua hari selepas seorang lelaki bersenjata membunuh 49 orang di sebuah kelab malam gay berhampiran dalam kejadian pembunuhan beramai-ramai paling teruk dalam sejarah moden Amerika Syarikat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Jun 2016 @ 10:21 AM