ALIGATOR dibiarkan kesejukan di taman awam terkenal di Brooklyn, AS. FOTO NYC Parks
ALIGATOR dibiarkan kesejukan di taman awam terkenal di Brooklyn, AS. FOTO NYC Parks
Agensi

New York: Menggemparkan apabila seekor aligator sepanjang 1.2 meter (m) ditemukan di sebuah taman awam terkenal di di Brooklyn, Amerika Syarikat (AS), minggu lalu.

Aligator adalah reptilia besar yang rupanya seakan-akan buaya, biasanya boleh ditemukan di tasik dan sungai di benua Amerika dan China.

Reptilia itu kemungkinan besar adalah haiwan peliharaan yang tidak diingini dan ditemukan dalam keadaan lembab seperti dilaporkan oleh pegawai taman, lapor stesen berita tempatan PIX11.

Pihak berkuasa berkata, haiwan itu mungkin dalam keadaan begitu kerana 'terkejut' akibat kesejukan.

"Taman bukanlah habitat yang sesuai untuk haiwan itu.

"Selain risiko bahaya kepada pengunjung taman, tindakan melepaskan haiwan bukan asli atau haiwan peliharaan seperti aligator boleh membawa kepada penghapusan spesies asli dan kualiti air yang tidak sihat," kata jurucakap itu.

Pegawai terbabit membawa buaya itu ke Pusat Penjagaan Haiwan dan kemudian menghantarnya ke Zoo Bronx, untuk pemulihan.

Mereka percaya buaya itu mungkin haiwan peliharaan yang ditinggalkan oleh pemiliknya di tasik berkenaan, menurut laporan itu.

Melepaskan haiwan ke taman di bandar New York adalah melanggar undang-undang.

Sementara itu, pengunjung taman meluahkan rasa terkejut dengan kehadiran aligator di dalam tasik.

"Agak menakutkan kerana kawasan itu dikunjungi kanak-kanak," kata bapa dua anak, Vijay Jacob kepada New York Post.

"Kami tidak akan pernah menjangkakan untuk melihat sesuatu seperti itu di sini," kata lelaki dikenali Musa kepada sebuah akhbar.

Aligator sesat secara berkala di bandar ini dan pihak berkuasa menyelamatkan haiwan itu setiap tahun, yang biasanya 'dibuang' selepas saiznya sudah membesar, lapor New York Times.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Februari 2023 @ 12:07 PM