TAYLEN Mosley. FOTO Agensi
TAYLEN Mosley. FOTO Agensi
AP

Miami: Mayat kanak-kanak dua tahun yang dilaporkan hilang sebelum ini ditemukan pada rahang seekor aligator di sebuah tasik.

Ketua Polis St Petersburg, Anthony Holloway berkata, pihak berkuasa menjalankan misi pencarian besar-besaran kanak-kanak itu, Taylen Mosley termasuk menggunakan penyelam dan dron selepas ibunya, Pashun Jeffery, 20, dibunuh, di apartmen mereka, Jumaat lalu.

Katanya, pasukan penyelamat yang mencari kanak-kanak itu di tasik beberapa meter dari kompleks apartmen itu, melihat seekor aligator dengan objek di dalam mulutnya sebelum menyedari ia adalah mayat kanak-kanak.

"Mereka melepaskan tembakan ke arah reptilia itu sebelum kami dapat mengambil mayat Taylen.

"Kami minta maaf ia terpaksa berakhir dengan cara macam ini," katanya pada sidang akhbar, Jumaat lalu.

Holloway berkata, bapa kanak-kanak itu, Thomas Mosley, 21, didakwa atas dua pertuduhan pembunuhan tahap pertama ke atas Pashun dan anak lelaki mereka, Taylen.

"Thomas dimasukkan ke hospital dengan luka di tangan dan lengannya dan enggan bercakap dengan penyiasat.

"Dia belum mempunyai peguam untuk mewakilinya," katanya.

Pashun yang bekerja di kedai CVS dan anaknya kali terakhir dilihat ahli keluarga, jam 5.20 petang, Rabu lalu.

Polis berkata, kira-kira 8.30 malam, jiran terdengar bunyi kekecohan yang kuat berhampiran apartmen mereka, namun tidak membuat laporan polis.

Keesokan harinya, ibu wanita itu menghubungi pengurus hartanah kompleks apartmen selepas tidak mendengar khabar daripada anak perempuannya.

Ketika itulah mereka menemuinya mayatnya dalam keadaan ditikam berkali-kali.

Menurut ahli keluarga terdekat, Pashun dan anaknya, Taylen baru saja berpindah ke apartmen itu kira-kira sebulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 April 2023 @ 12:23 PM