BUAYA yang ditangkap.
BUAYA yang ditangkap.
Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail


Petra Jaya: Dakwaan wujudnya buaya di tasik Tanah Perkuburan Islam Semariang di sini, sejak beberapa hari lalu hingga menjadi viral di media sosial terjawab apabila reptilia itu berjaya ditangkap, hari ini.

Buaya berukuran kira-kira 2.5 meter itu ditangkap pasukan tindakan khas Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) kira-kira jam 9 pagi tadi.

Timbalan Pengurus Besar SFC, Oswald Braken Tisen berkata, buaya itu sudah dihantar ke Pusat Perlindungan Hidupan Liar Matang.

Menurutnya, operasi dijalankan di kawasan itu selepas penduduk berhampiran tanah perkuburan itu mendakwa nampak buaya di tasik sejak beberapa hari lalu.

"Usaha dilakukan untuk mengesan dan menangkap reptilia itu kerana dikhuatiri membahayakan orang ramai terutamanya kanak-kanak yang sering bermain di tasik berkenaan," katanya.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut bagaimana reptilia itu boleh berada di tasik berkenaan dan memaklumkan Bahagian Komunikasi Korporat SFC akan mengeluarkan kenyataan media mengenainya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Disember 2016 @ 1:30 PM