ALABA (kanan) gagal menyerlah.
ALABA (kanan) gagal menyerlah.

Bordeaux: David Alaba gagal memberi sentuhan berbisa ketika Austria memulakan kempen Euro 2016 dengan langkah kiri selepas tumpas 0-2 kepada Hungary kelmarin yang menyaksikan jurulatih, Marcel Koller menganggap kelebihan dimiliki anak buahnya itu sedikit mengguriskan perasaannya.

Pemain berusia 24 tahun itu dilihat akan menjadi salah seorang yang bakal menyinar di Perancis tetapi ketika sudah memberi aksi mengagumkan di peringkat awal, dia gagal memberi sumbangan kerana Hungary mengawal permainannya.

Koller berkata, meletakkan Alaba di bahagian tengah, walaupun dia bermain di pertahanan kiri di Bayern Munich, mungkin boleh menjelaskan mengapa dia bergelut untuk memberikan impak.

“Untuk pasukan kami dia bermain di tengah tetapi di Bayern di pertahanan. Mungkin itu yang menimbulkan masalah,” kata Koller selepas pasukan mereka dikecewakan dengan jaaringan Adam Szalai dan Zoltan Stieber.

Alaba, yang selalunya menjadi ketua pasukan, melakukan rembatan mengatasi penjaga gol, Gabor Kiraly sebelum bola singgah di palang pada awal permainan.

Bagaimanapun, dia dibayangi pemain Hungary berusia 37 tahun, Zoltan Gera.

“Jika dia menjaringkan gol pada awal permainan anda mungkin tidak mempersoalkannya. Kita dapat lihat semalam Alaba mempunyai sentuhan yang baik untuk perlawanan ini,” kata Koller.

Walaupun Alaba melakukan beberapa hantaran cantik dan menggelecek dengan baik, dia melepaskan peluang di depan gol apabila melakukan enam rembatan dan hanya sekali menguji Kiraly.

Selepas ini Austria akan menentang pasukan pilihan dalam kumpulan berkenaan, Portugal di Paris Sabtu ini. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Jun 2016 @ 9:26 AM