ALABA (tengah) kunci pertahanan tengah Austria.
ALABA (tengah) kunci pertahanan tengah Austria.
AFP

Bordeaux, Perancis: Dilihat sebagai pasukan yang mampu melakukan kejutan pada saingan Euro 2016, Austria mempunyai keupayaan untuk melakukan perkara itu apabila bakal memulakan kempen Kumpulan F bertemu Hungary awal pagi esok.

Perlawanan yang berlangsung di Bordeaux itu akan menjadi pertemuan ke-138 antara kedua-dua pasukan tetapi yang pertama sejak sedekad lalu serta aksi kompetitif pertama membabitkan kedua-duanya selepas lebih 30 tahun.

Satu-satunya pertemuan di saingan besar antara kedua-dua pasukan itu adalah di suku akhir Piala Dunia 1934 di Itali yang menyaksikan Austria mencatatkan kemenangan 2-1 dan barisan skuad bimbingan Marcel Koller sekali lagi menjadi pasukan pilihan apabila kedua-dua pasukan bertemu kali ini.

Diperkuatkan dengan pemain bintang David Alaba, Austria dilihat ampuh pada kempen kelayakan dan pertahanan Bayern Munich itu yang diletakkan di bahagian tengah apabila beraksi untuk negaranya, pasti menjadi pemain tumpuan apabila bertemu Hungary.

“Dia mempamerkan watak penting di bahagian tengah kerana pengalaman yang ada padanya diharap membantu rakan sepasukan lain. Kami berharap dia dapat meneruskan aksi cemerlang untuk skuad kebangsaan,” kata rakan sepasukan Marko Arnautovic yang beraksi untuk Stoke City.

Arnautovic adalah antara beberapa pemain Austria yang beraksi di saingan Euro kali ini selepas melalui musim cemerlang di Liga Perdana Inggeris. Turut dijangka menyertainya adalah pertahanan kiri Leicester City Christian Fuchs dan pertahanan Tottenham Hotspur Kevin Wimmer.

Sementara itu, Hungary yang menewaskan Norway pada aksi play-off untuk layak ke saingan kejohanan besar itu buat kali pertama sejak Piala Dunia 1986, tidak mempunyai barisan pemain bintang dan dijangka berdepan tugas sukar bertemu Portugal serta Iceland yang turut berada dalam Kumpulan F.

Perlawanan awal pagi esok juga cukup bermakna untuk pertahanan Austria Gyorgy Garics kerana dia dilahirkan di Hungary tetapi berhijrah ke Austria pada usia 14 tahun.

Garics yang beraksi bersama pasukan Darmstadt pada saingan Bundesliga, mungkin dimaafkan jika terlupa seketika negara mana yang diwakilinya antara Hungary dan Austria apabila lagu kebangsaan kedua-dua negara berkumandang sebelum sepak mula di Bordeaux.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Jun 2016 @ 6:46 AM