ALABA cedera ketika aksi persahabatan antarabangsa.
ALABA cedera ketika aksi persahabatan antarabangsa.

Berlin: Bayern Munich mengumumkan pertahanan kiri Austria, David Alaba diketepikan hingga tujuh minggu akibat kecederaan ligamen lutut dialami ketika bermain untuk negaranya.

Alaba yang turut boleh beraksi di bahagian tengah, mengalami kecederaan ligamen lutut kiri ketika Austria seri 1-1 dengan Bosnia-Herzegovina pada perlawanan persahabatan, kelmarin.

Bagaimanapun, pemain berusia 22 tahun itu berharap dia boleh kembali bersama Bayern bagi kemuncak musim ini dengan perlawanan terakhir Bundesliga menentang Mainz dijadual pada 23 Mei ini, tujuh setengah minggu dari sekarang.

“Saya amat kecewa ketika ini, tapi saya ada satu sasaran besar, saya mahu kembali bagi perlawanan terakhir musim ini,” kata Alaba kepada laman web Bayern.

Bayern masih memburu trofi Liga Juara-Juara, final diadakan di Berlin pada 6 Jun ini dan Piala Jerman, seminggu sebelumnya.

Alaba terpaksa berbalut sekitar dua minggu dan memakai penganduh selepas itu, umum Bayern yang menjelaskan dia akan kembali ke padang latihan dalam masa empat minggu jika semua berjalan lancar.

Pasukan kendalian Pep Guardiola itu, yang berdepan Borussia Dortmund hujung minggu ini, sudah kehilangan Arjen Robben sekurang-kurangnya lima minggu kerana kecederaan abdomen dialami bulan lalu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 April 2015 @ 8:56 AM