KIRALY
KIRALY

Bordeaux, Perancis: Penjaga gol Hungary Gabor Kiraly bakal muncul pemain tertua beraksi dalam saingan Euro awal pagi esok apabila bertemu Austria pada perlawanan pembukaan Kumpulan F.

Berusia 40 tahun dua bulan, dia akan memadamkan rekod Lothar Matthaeus dari Jerman yang dilakar pada Euro 2000.

Kiraly dikenali kerana gemar mengenakan seluar sukan panjang ketika beraksi kerana ia dapat melindungi lututnya daripada kecederaan.

Kiraly yang terpaksa menukar warna hitam kepada kelabu, terus mengekalkan warna itu sebagai pembawa tuah untuknya.

Beraksi bertemu lawan yang sering menjadi musuh tradisi mereka, Kiraly mempunyai memori yang indah.

Kira-kira 18 tahun lalu, dia membuat penampilan pertama bertemu Austria dan menyelamatkan sepakan penalti Toni Polster selepas empat minit perlawanan.

Biarpun tidak beraksi selama tiga tahun antara 2006 hingga 2009, dia kembali mewakili skuad kebangsaan dan menjadi pemain terbanyak mewakili Hungary dengan 103 penampilan dan muncul watak penting ketika mencatatkan kemenangan ke atas Norway pada aksi play-off. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Jun 2016 @ 6:22 AM