AKSI pemain tengah Jerman, Leroy Sane dikritik penyokong sendiri pada perlawanan berkesudahan seri 2-2 dengan Hungary, Rabu lalu. FOTO EPA
AKSI pemain tengah Jerman, Leroy Sane dikritik penyokong sendiri pada perlawanan berkesudahan seri 2-2 dengan Hungary, Rabu lalu. FOTO EPA
AFP

Berlin: Ketua jurulatih Jerman, Joachim Loew berdepan tekanan untuk membariskan kesebelasan utama pada aksi pusingan kedua Euro 2020 menentang England di Wembley, Rabu ini, dan menggugurkan pemain sayap, Leroy Sane.

Sebagai pemain gantian kepada Thomas Mueller, yang direhatkan kerana cedera lutut, Sane gagal menyerlah ketika beraksi dalam kesebelasan utama yang berkesudahan seri 2-2 dengan Hungary, apabila Jerman mengharapkan gol penyamaan saat akhir untuk mara.

Sane gagal membantu jentera depan, seperti aksi tidak konsisten pada musim pertama bersama Bayern Munich serta tidak mampu menyerlah.

Apabila Sane gagal menyempurnakan peluang selepas sepakan sudut ketika menentang Hungary, penonton mula membunyikan wisel di Allianz Arena pada Rabu lalu.

Bekas pemain tengah Jerman, Stefan Effenberg berkata, Loew harus bertindak dengan menggugurkan pemain berusia 25 tahun itu pada perlawanan dengan England.

"Loew harus menggugurkan Sane, dia tidak membantu pasukan, malah tidak membantu dirinya sendiri," kata Effenberg kepada t-online.

"Dia (Sane) kurang keyakinan diri - yang bermakna dia tidak mampu gunakan kemampuan hebatnya."

Effenberg serta legenda Jerman, Lothar Matthaeus menggesa Loew menimbang semula pemilihan pemain tengah dan kembali kepada kelab gergasi Bundesliga, Bayern Munich.

"Jogi (Loew) percaya kepada pemain yang salah. Pada hal, pemain Bayern yang menyaksikan kita terus mara," kata Matthaeus.

Leon Goretzka, yang masuk sebagai pemain gantian dan menjaringkan gol penting ketika menentang Hungary, dijangka bermula dalam kesebelasan utama di Wembley.

Effenberg mahu menyaksikan pemain tengah Bayern berusia 18 tahun, Jamal Musiala, yang masuk sebagai pemain gantian ketika menentang Hungary dan dilihat lebih bahaya walaupun bermain lapan minit terakhir, berbanding Sane yang beraksi seluruh perlawanan.

Matthaeus mahu pemain tengah Bayern membarisi kesebelasan utama menentang England dengan Joshua Kimmich ditukar posisi daripada bek kanan kepada pemain tengah.

"Saya bukan hanya mencadangkan Loew menurunkan Jamal Musiala, malah semua pemain tengah Bayern berada dalam kesebelasan utama," kata Matthaeus yang bertindak sebagai kapten ketika Jerman Barat menang Piala Dunia 1990.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Jun 2021 @ 9:52 PM