PEMAIN Hungary ceria selepas menamatkan penantian ke Euro.
PEMAIN Hungary ceria selepas menamatkan penantian ke Euro.
PRISKIN melakukan sepakan voli deras ke arah gawang Norway.
PRISKIN melakukan sepakan voli deras ke arah gawang Norway.
Reuters

Budapest: Penantian 30 tahun Hungary beraksi dalam kejuaraan utama akan berakhir di Perancis tahun depan selepas kemenangan 2-1 ke atas Norway memastikan mereka layak ke pusingan akhir Euro 2016.

Kejayaan yang melengkapkan kemenangan secara agregat 3-1 di depan penyokong sendiri di Groupama Arena, memastikan Hungary tampil buat kali pertama dalam kejohanan utama selepas Piala Dunia 1986 di Mexico.

“Saya mengucapkan tahniah kepada pasukan, presiden persatuan Sandor Csanyi dan juga Pal Dardai yang mengendalikan pasukan ini sebelum saya,” kata jurulatih Hungary dari Jerman Bernd Storck yang mengendalikan pasukan itu sejak Julai.

“Pendekatan pemain sungguh luar biasa pada kedua-dua perlawanan itu. Mereka berjuang dengan baik dan layak ke Perancis.”

Skuad Hungary meneruskan rentak kemenangan pertama mereka di Oslo apabila Tamas Priskin menjaringkan gol pertama pada minit ke-14 manakala jaringan ke gawang sendiri Markus Henriksen pada minit ke-83 memastikan kemenangan memihak tuan rumah.

Henriksen menebusnya dengan jaringan saat akhir tetapi ia hanya dianggap sagu hati buat Norway apabila pasukan tuan rumah meraikan kejayaan layak ke Kejohanan Eropah buat kali pertama sejak 1972.

Pemain yang menjadi sanjungan di Budapest tidak lain ialah Gabor Kiraly, 39, yang berusaha menyelamatkan gawangnya pada dua perlawanan itu.

Stadium pasukan Ferencvaros bagaikan meledak apabila Priskin merembat dari jarak 16 meter menerusi aksi serangan balas pantas sekali gus meletakkan Hungary di depan.

Kiraly kemudian bertindak cemerlang menyelamatkan keadaan daripada sepakan rendah Haitam Aleesami pada minit ke-27 selepas gerakan menarik pasukan pelawat dengan Norway sekali lagi hampir menjaringkan gol apabila tandukan Even Hovland terkena palang pada minit ke-45.

Kiraly sekali lagi menyelamat keadaan pada minit ke-75 apabila menampan sepakan jarak dekat Marcus Pedersen sebelum keputusan perlawanan ditentukan tujuh minit sebelum tamat apabila hasil sepakan sudut Balázs Dzsudzsak menyaksikan Henriksen yang tertekan tersepak ke gawang sendiri.

Pemain Az Alkmar itu kemudian merapatkan jurang untuk Norway pada minit ke-87 tetapi semuanya sudah terlewat.

“Tahniah kepada Hungary, mereka lebih baik berbanding kami dalam kedua-dua perlawanan,” kata jurulatih Norway Per-Mathias Hogmo.

“Saya benar-benar kecewa dengan aksi kami. Kami gagal menjaringkan gol di Oslo, itu yang mengecewakan.

“Secara keseluruhannya, kami memang serba kekurangan.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 November 2015 @ 8:12 AM