Kereta yang dipercayai dicuri.
Kereta yang dipercayai dicuri.
Rudy Syareme Sheriffudin


Georgetown: Lelaki yang bekerja sebagai penarik kereta ditahan polis selepas dipercayai mencuri kereta di pangsapuri di Jalan Sungai, di sini, kelmarin.

Dalam serbuan 11.30 malam di parkir kondominium di Batu Uban itu, sepasukan pegawai dan anggota daripada Cawangan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut menahan lelaki terbabit yang dipercayai melarikan kereta jenis Volvo S60.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, AsistenKomisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, serbuan itu dibuat hasil satu laporan polis oleh jurujual berusia 30 tahun pada 31 Mei lalu.

Katanya, mangsa memberitahu kereta Volvo S60 milik rakannya yang diletakkan di parkir pangsapurinya ditarik lelaki yang mendakwa wakil daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menggunakan sebuah kenderaan.

“Mangsa diamanahkan oleh rakannya yang bercuti di luar negara menjaga keretanya.

"Hasil pemeriksaan mendapati kereta itu dilarikan seorang lelaki dan mendakwa dia adalah wakil daripada JKDM.

"Mangsa kemudian meminta dokumen yang dikeluarkan oleh JKDM sebagai pengesahan namun suspek gagal mengemukakan dokumen yang diminta sebaliknya suspek turut meminta wang daripada mangsa sebagai duit kopi dengan alasan untuk menyelesaikan kes dengan JKDM.

"Mangsa kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Jalan Patani dan hasil siasatan serta risikan yang dijalankan polis akhirnya berjaya menahan suspek di kawasan parkir kondominium di Batu Uban pada 11.30 malam.

"Suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A(1) Kanun Keseksaan,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Jun 2016 @ 2:50 PM