GAMBAR tular di media sosial susulan kejadian pasukan kastam melepaskan tembakan ke arah kereta dinaiki pengedar dadah. FOTO Tular
GAMBAR tular di media sosial susulan kejadian pasukan kastam melepaskan tembakan ke arah kereta dinaiki pengedar dadah. FOTO Tular
Juwan Riduan


Lahad Datu: Beberapa das tembakan dilepaskan sepasukan pegawai Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah selepas sebuah kereta dinaiki dua lelaki disyaki pengedar dadah melanggar kenderaan pegawai penguat kuasa terbabit ketika cuba melarikan diri daripada kepungan.

Kejadian dipercayai berlaku di hadapan sebuah kedai di Jalan Silabukan, di sini, turut disaksikan orang awam di sekitar tempat kejadian dan mereka sempat mengambil gambar sebelum ia tular di media sosial.

Difahamkan, kejadian itu berlaku kira-kira 3 petang semalam, selepas sepasukan pegawai JKDM Sabah menahan sebuah kereta Proton Saga kerana disyaki membawa dadah.

Bagaimanapun pemandu kereta Proton Saga bertindak agresif melarikan diri dan melanggar kenderaan pegawai penguat kuasa JKDM.

Dalam keadaan mempertahankan diri, pegawai penguat kuasa terbabit bertindak melepaskan beberapa das tembakan ke arah tayar hadapan dan belakang bagi memberhentikan kereta suspek.

Namun suspek terus bertindak agresif meloloskan diri menuju ke arah Kampung Layung, di sini, menyebabkan pegawai penguat kuasa mengejarnya.

Kereta suspek ditahan selepas masuk ke jalan mati di kawasan kampung berkenaan dan kedua-dua suspek berjaya diberkas.

Pegawai penguat kuasa turut menemui sebuah bungkusan disyaki berisi dadah syabu.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian itu dan ia berkaitan operasi JKDM mengenai aktiviti pengedaran dadah.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 January 2023 @ 2:42 PM