SUSPEK ditahan polis selepas melarikan diri dan melanggar pejalan kaki hingga meninggal dunia di Jalan Batu Uban 2. FOTO ihsan polis
SUSPEK ditahan polis selepas melarikan diri dan melanggar pejalan kaki hingga meninggal dunia di Jalan Batu Uban 2. FOTO ihsan polis
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Tindakan agresif pemotong rumput berusia 46 tahun yang cuba melarikan diri di Jalan Batu Uban 2, di sini, hari ini, bukan saja menyebabkan polis terpaksa melepaskan empat das tembakan malah seorang lelaki meninggal dunia selepas dilanggarnya.

Dalam kejadian 6.40 pagi itu, mangsa berusia 61 tahun dan disahkan meninggal dunia di lokasi selepas dilanggar suspek yang memandu Perodua Myvi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, terdahulu, suspek dilihat dalam keadaan mencurigakan ketika melalui lampu isyarat antara Jalan P Ramlee dan Jalan Perak.

Katanya, dua anggota MPV Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut yang sedang melakukan rondaan menahan suspek untuk pemeriksaan namun lelaki terbabit memecut.

"Ketika melalui Jalan Perak berhampiran pasar pagi, suspek melanggar seorang lelaki berusia 61 tahun yang sedang melintas jalan menyebabkan mangsa meninggal dunia di lokasi.

"Suspek terus memecut melalui Jalan Van Praagh," katanya dihubungi.

Soffian berkata, ketika melalui Jalan Batu Uban 2, suspek diarahkan supaya berhenti namun masih agresif dan hampir melanggar anggota polis.

Kata Soffian, tindakan bahaya suspek menyebabkan anggotanya terpaksa melepaskan tiga das tembakan ke arah tayar kanan dan sedas tembakan lagi ke arah hadapan kereta terbabit.

"Suspek dapat ditahan di lokasi kejadian dan tidak mengalami kecederaan. Pemeriksaan terhadap suspek menemukan tiga paket dadah jenis heroin seberat 13 gram.

"Suspek berasal dari Kampung Melayu, Ayer Itam dan mempunyai 16 rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

"Perodua Myvi dipandunya didaftarkan atas nama sebuah syarikat kereta sewa yang beralamat Jalan Sungai Tiram, Bayan Lepas," katanya.

Berkaitan pakaian suspek yang dipercayai tertera logo Konsulat Indonesia, Soffian berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39 Akta Senjata 1960.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Jun 2021 @ 2:05 PM