Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Polis menemukan 36 bungkusan air ketum dalam kereta Proton Saga yang diparkir di Jalan Zainal Abidin di sini, hari ini.

Bungkusan itu ditemui ketika sepasukan anggota dari Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut ketika mahu melakukan pemeriksaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di sebuah gerai kira-kira jam 11.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, anggota menemukan kereta dalam keadaan mencurigakan di parkir di hadapan gerai pulut udang itu.

Menurutnya, hasil pemeriksaan pada bahagian bonet belakang kereta kemudian menemukan bungkusan dipercayai cecair ketum dalam bekas gabus (styrofoam) berwarna putih.

POLIS menemukan 36 air ketum ketika operasi di Jalan Zainal Abidin. FOTO Zuhainy Zulkiffli
POLIS menemukan 36 air ketum ketika operasi di Jalan Zainal Abidin. FOTO Zuhainy Zulkiffli

"Susulan itu, polis menahan lelaki berusia 50 tahun dipercayai sebagai tokan ketum dan pemilik kenderaan itu.

"Siasatan awal mendapati suspek menjual cecair berkenaan kepada pelanggannya di sekitar kawasan Georgetown pada harga RM5 sebungkus," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Ogos 2021 @ 5:10 PM