ABDUL LATIF ABDUL KADIR
ABDUL LATIF ABDUL KADIR
Samadi Ahmad


Putrajaya: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan terus menjalankan amanah serta tidak akan berkompromi dengan pihak yang ingin mengganggu-gugat kedaulatan dan keselamatan negara.

Ketua Pengarahnya Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir berkata, pihaknya memandang serius ancaman dan ugutan membabitkan kakitangan JKDM.

Abdul Latif berkata, seorang pegawai kanan JKDM Sarawak menerima satu sampul surat bertulis 'Death' yang mengandungi dua butir peluru di tempat letak kereta di kediamannya, 26 November lalu.

Menurutnya, sampul surat berkenaan dijumpai antara jam 11.30 pagi hingga 12 tengah hari bersama sekeping nota berwarna merah tertulis 'Got two bullet one short one long which one you want'.

Katanya, semakan melalui rakaman kamera litar tertutup mendapati pada jam 7.15 malam, 25 November lalu, seorang individu keluar dari sebuah kereta yang berhenti di hadapan rumah pegawai kanan itu dan mencampakkan sesuatu ke ruang letak kereta kediaman terbabit.

"Pegawai terbabit membuat laporan polis pada 26 November lalu selepas bimbang keselamatan diri dan keluarganya terancam," katanya melalui kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, susulan laporan itu, polis menjalankan siasatan bagi mengumpul maklumat di kediaman pegawai terbabit.

Sebelum itu, katanya, pada 22 November lalu, dua butir peluru yang diisi di dalam sampul surat dengan nota bertulis 'Got two bullet one short one long which one you want' turut dijumpai di rumah jiran terletak berhadapan dengan kediaman pegawai terbabit.

Abdul Latif berkata, dipercayai peluru dan nota yang dijumpai di rumah jiran itu tersalah hantar kerana dipercayai ia ditujukan kepada pegawai itu.

Menurutnya, individu yang menerima sampul surat bersama nota ugutan dan dua butir peluru itu membuat laporan polis dan memaklumkan kejadian itu kepada pegawai berkenaan.

"JKDM merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada polis kerana bertindak pantas sehingga berjaya menangkap tiga individu bagi membantu siasatan kes berkenaan," katanya.

Menurutnya, insiden ugutan itu dipercayai mempunyai kaitan dengan operasi yang dijalankan di Pelabuhan Rajang, Sibu dan Pelabuhan Bintulu pada 21 Oktober hingga 13 November lalu.

"Operasi di dua pelabuhan itu secara keseluruhannya berjaya menghasilkan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM2.64 juta dengan anggaran jumlah cukai atau duti dianggarkan sebanyak RM655,301.76," katanya.

Berita berkaitan:

  • Sindiket 'hantar' peluru, ugut bunuh pegawai kastam
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 November 2020 @ 9:33 PM