SCHWEINSTEIGER (dua dari kanan) tak mahu terlepas aksi penting.
SCHWEINSTEIGER (dua dari kanan) tak mahu terlepas aksi penting.
AFP

Berlin: Bastian Schweinsteiger berharap dapat turun bermain pada aksi sebenar buat kali pertama sejak ligamen lututnya koyak, Mac lalu dan dia tidak sabar untuk menentang Hungary pada perlawanan persahabatan terakhir sebelum Euro 2016.

“Impian saya adalah untuk bermain menentang Hungary. Cukuplah kalau 20 atau 30 minit. Amat penting untuk saya mendapat sedikit peluang,” kata kapten Jerman itu menjelang aksi persahabatan di Gelsenkirchen.

“Saya jangka mungkin digantikan selepas tempoh itu.”

Bintang berusia 31 tahun yang mewakili Manchester United, mengalami kecederaan ligamen lutut ketika mewakili Jerman, Mac lalu dan kali terakhir dia bermain 90 minit pada Januari lalu.

Jerman akan menyingkap tirai Kumpulan C kempen Euro 2016 dengan menentang Ukraine di Lille pada 12 Jun ini sebelum bertemu Poland empat hari kemudian. Mereka akan menentang Ireland Utara pada 21 Jun.

“Sudah tentu saya tidak boleh mencapai tahap 100 peratus dalam sekelip mata. Saya perlu mencari semula rentak,” katanya.

Schweinsteiger pernah berada dalam situasi sama sebelum ini.

Persembahan menakjubkan yang dilakar di bahagian tengah menjadi kunci utama hingga membolehkan Jerman memenangi Piala Dunia 2014.- AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Jun 2016 @ 5:05 AM